fbpx

‘Kami nak balik kampung beraya, bukan melancong’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU tiket kapal terbang mahal ketika musim perayaan bukanlah perkara baharu. Saban tahun, ia akan menjadi topik yang dibualkan oleh hampir kesemua golongan perantau.

Masing-masing akan pening kepala terutama mereka yang telah bekeluarga dan mempunyai anak yang ramai.

Paling terkesan pastinya perantau dari Sabah dan Sarawak. Dua negeri yang terletak di Malaysia Timur ini terpisah dari tanah Semenanjung oleh Laut China Selatan.

Ini bermakna, rakyat Sabah dan Sarawak yang berada di merata negeri di Semenanjung, sama ada yang mencari rezeki atau bergelar pelajar perlu menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara untuk pulang ke kampung masing-masing.

Menggunakan perkhidmatan kapal terbang sangat berbeza dengan pengangkutan darat seperti bas, kereta api mahupun teksi.

Selain kosnya yang mahal, jumlah tiket kapal terbang yang disediakan juga sangat terhad dan terbatas.

Atas sebab itu, setiap perjalanan yang menggunakan perkhidmatan udara perlu dirancang agar tiada yang kempunan untuk balik kampung.

Dan jangan terkejut, mereka yang berpeluang untuk pulang ke kampung pada Hari Raya Aidilfitri nanti adalah mereka yang telah membeli tiket sejak lapan bulan lalu!

Semua tindakan awal itu dibuat bagi memastikan mereka membeli tiket pada harga berpatutan atau lebih murah berbanding biasa.

Namun, bagi mereka yang tidak cakna atau bersikap ‘tunggu dahulu’, natijahnya cukup besar apabila mereka perlu membayar dengan jumlah yang besar bagi mendapatkan sekeping tiket.

Seperti mana yang dilaporkan akhbar ini, tambang penerbangan ke Sabah dan Sarawak telah meningkat lebih 400 peratus menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri pada April ini.

Tahun lalu, ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergelar Perdana Menteri, beliau ada mengingatkan semua pengendali syarikat penerbangan domestik agar tidak mengambil kesempatan menaikkan tambang penerbangan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Dan untuk tahun ini, besarlah harapan seluruh perantau agar Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan lebih berkesan untuk menyelesaikan masalah ini, setidak-tidaknya untuk memastikan harga tiket tidak terlalu mahal.

Penyelesaiannya sangat jelas, iaitu memberi lebih banyak ruang kepada rakyat yang ketika ini terjejas akibat kos sara hidup yang tinggi untuk menikmati tiket penerbangan pada harga mampu milik.

Harus diingat bahawa rakyat Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung bukanlah golongan yang serba mampu atau kategori T20, tetapi mereka adalah pencari rezeki di negeri orang.

Lagipun, tiket kapal terbang yang ingin dibeli itu adalah bagi tujuan pulang ke kampung halaman dan bukannya untuk pergi melancong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI