KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan menanggung sepenuhnya kos persemadian mayat lebih RM20,000 yang sudah dibelanjakan satu keluarga yang terlibat kesilapan identiti mayat seorang tahanan di Penjara Sungai Buloh Ahad lalu.
Saifuddin Nasution turut mengakui wujud elemen kecuaian dan kelemahan sistem dalam insiden berkenaan, dan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aspek kecuaian bagi memastikan ia tidak berulang.
“Saya akui ada elemen kecuaian dan kelemahan sistem. Kita segera arahkan penubuhan jawatankuasa lembaga siasatan serta-merta dan arahan saya adalah tidak boleh ada sebarang kompromi terhadap aspek kecuaian.
“Kita akan sentiasa mengambil langkah penambahbaikan, apakah sistem sedia ada tidak memadai dari sudut proses identifikasi. Kalau kita perlu teroka idea lain, kita terbuka.
“Atas perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh keluarga, saya sendiri akan bayar pampasan itu. Saya akan selesaikan dalam tempoh kurang 48 jam,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, pada Ahad lalu, Kosmo! melaporkan mengenai kekeliruan yang berlaku selepas keluarga terbabit dimaklumkan supaya menuntut mayat anak mereka di Hospital Sungai Buloh pada selepas dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh.
Keluarga itu mendakwa, anak mereka yang tinggal dan bekerja di Selayang, Selangor, ditahan sebelum ditempatkan di Penjara Sungai Buloh bersama lelaki yang meninggal dunia itu.
Saifuddin menjelaskan, pihak keluarga sudah dipanggil untuk membuat pengecaman mayat selepas selesai proses bedah siasat di hospital, namun fizikal mayat itu menyebabkan pihak keluarga sukar membuat pengecaman sebelum pengebumian.
“Ketika ‘roll call’ dibuat, anak itu muncul dan memaklumkan dia tidak mati. Jadi kesilapan identiti tersebut segera disahkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.