fbpx

Isham Jalil minta KJ semak fakta sebelum bersuara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Isham (kiri), Khairy Jamaluddin (kanan)

PETALING JAYA – Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil meminta Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyemak semula dokumen melibatkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berkaitan UMNO sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Isham dalam sebuah video di Facebooknya berkata, dakwaan yang dibuat oleh Khairy Jamaluddin mengenai surat yang dikeluarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berhubung pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) juga berniat untuk menghasut ahli-ahli parti yang lain.

“Berkenaan dengan isu RoS, saya ada tengok kenyataan daripada bekas ahli UMNO iaitu KJ (Khairy Jamaluddin). Nombor satu dia cakap sekiranya surat daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution tidak dikeluarkan, sesiapa yang cakap bahawa UMNO mungkin akan diharamkan atau dibubarkan adalah bodoh.

“Saya tidak tahu bagaimana dia boleh berkata begitu. Adakah penganalisa politik atau pengamal undang-undang berkata begitu, mengatakan pengamal undang-undang itu bodoh kerana dalam surat Menteri itu dia menyatakan Seksyen 13 Akta Pertubuhan, berkenaan dengan penggantungan dan pembubaran,” katanya.

Isham turut berkata, surat daripada RoS itu juga sebenarnya tidak jelas dan menimbulkan pelbagai tafsiran termasuk surat daripada Saifuddin Nasution.

“Saya nak bagitahu KJ sebelum dia memberi komen sebegitu, bacalah dahulu akta tersebut. Apa yang dia sebutkan adalah surat daripada RoS yang dia sendiri cakap dia tidak tahu sama ada surat tersebut tulen ataupun tidak.

“Katakanlah surat itu betul dan menteri pula kata berkenaan merujuk kepada Seksyen 13 itu bagi pengecualian. Kalau menteri tidak beri pengecualian maka Seksyen 13 itu berkuat kuasa. Saya tengok semalam KJ nak ‘cover’ balik sebab dia bawa isu ini meskipun dia bukan ahli UMNO lagi.

“Mungkin dia berniat untuk menghasut ahli UMNO sebab saya tengok dia dan kawan-kawan dia cuba nak UMNO ini haram atau digantung sahaja tanpa surat tersebut,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI