fbpx

Ikan busuk jadi sajian mangsa banjir?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JALIL Atan menunjukkan keadaan ikan kembung yang hancur dan berbau busuk yang dibekalkan kepada mangsa banjir di PPS SK Sungai Rambai, Jasin, Melaka. - Foto oleh AMRAN MULUP/ KOSMO!

JASIN – Mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rambai di sini mendakwa, makanan tengah hari yang dibekalkan kepada mereka tidak berkualiti.

Seorang mangsa dari Kampung Batu Gajah Pasir, Zariffudin Abdul Hamid, 45, berkata, isterinya mengalami cirit birit selepas makan nasi berlauk ikan kembung yang dibekalkan, kelmarin.

Menurutnya, ketika membuka pek makanan tersebut, dia mendapati keadaan ikan sudah berbau busuk hingga menyebabkannya membuang juadah berkenaan.

“Saya terpaksa beli makanan di luar untuk isteri dan dua anak saya. Hari ini pun sama nasi, kuah dan sayur boleh makan tetapi malangnya ikan yang diberikan memang tidak boleh dimakan.

“Kalau benda elok kami tidak merungut tetapi sudah dua hari makanan yang dibekalkan langsung tidak berkualiti. Saya duduk di PPS bukan minta makan yang sedap-sedap, makan nasi dan sayur pun sudah memadai,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Difahamkan, seramai 29 keluarga membabitkan 99 mangsa banjir kini ditempatkan di SK Sungai Rambai sejak Sabtu lalu.

Seorang lagi mangsa, Jalil Atan, 55, dari Parit Penghulu Benteng turut menzahirkan rasa kecewa dan meminta pihak terlibat terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memantau kualiti makanan yang dibekalkan kepada penghuni di semua PPS.

“Sejak semalam dan hari ini saya, isteri dan dua anak tiada selera menjamah makan yang dibekalkan kerana ikan sudah berbau. Saya berharap masalah ini diatasi segera agar mangsa banjir di PPS tidak mengalami keracunan makanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI