KOTA BHARU – Jabatan Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini menerima lebih 2,000 kes baharu melibatkan pesakit mental yang hadir untuk menerima rawatan setiap tahun.
Ketua Jabatan Psikiatri HRPZ II, Dr. Fariza Yahya berkata, jabatan tersebut menerima pesakit paling muda berusia 13 tahun yang mempunyai masalah mental.
Menurutnya, kebanyakan remaja yang mempunyai masalah mental berpunca daripada keadaan persekitaran termasuk keluarga yang berpecah-belah, ibu bapa yang merupakan penagih dadah dan pelbagai faktor lain.
“Masalah ini berlaku apabila mereka berada dalam keadaan memendam perasaan, kurang perhatian dan kasih sayang.
“Selain itu, individu dalam kalangan masyarakat kita juga lebih percaya kepada perubatan tradisional atau bomoh sehingga menyebabkan masih ramai pesakit mental tidak menerima rawatan awal di hospital,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) Ketereh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Fariza memberitahu, rawatan awal amat penting kepada pesakit mental kerana ia mampu memulihkan penyakit itu 100 peratus berbanding mereka yang lambat dirawat.
Menurutnya, pesakit tidak akan pulih sepenuhnya dan hanya sembuh sekitar 70 hingga 80 peratus sahaja sekiranya lewat menerima rawatan. – KOSMO! ONLINE