fbpx

Hak wanita di seluruh dunia semakin terhakis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYOKONG hak wanita menunjuk perasaan di luar bangunan Capitol di Washington pada 8 Mac 2017. – AFP

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York – Kemajuan global mengenai hak wanita ‘hilang di depan mata kita,’ kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam satu amaran kelmarin sambil menyatakan bahawa matlamat kesaksamaan gender masih jauh, malah, mengambil masa 300 tahun lagi untuk dicapai.

“Kesaksamaan gender kini semakin jauh. Di landasan semasa, Wanita PBB meletakkan masa 300 tahun bagi mencapai matlamat tersebut,” kata Guterres dalam ucapan pada Perhimpunan Agung menjelang sambutan Hari Wanita Antarabangsa hari ini.

Pada sidang sama, beliau melancarkan sesi perbincangan selama dua minggu yang diketuai oleh Suruhanjaya Status Wanita (Wanita PBB).

“Hak wanita telah disalahgunakan, diancam dan dicabuli di seluruh dunia,” tambahnya sambil menyuarakan krisis membabitkan wanita termasuk kadar kematian ibu mengandung dan kanak-kanak perempuan dibuang sekolah atau dipaksa berkahwin awal.

“Kemajuan yang dicapai selama beberapa dekad lalu semakin hilang di hadapan mata kita,”kata Guterres lagi.

Beliau menekankan mengenai situasi sangat buruk di Afghanistan yang diperintah kerajaan Taliban, di mana ‘penyertaan wanita dan gadis dalam sektor awam telah dipadamkan’.

Guterres tidak menamakan negara tertentu yang lain tetapi menegaskan, ‘di kebanyakan tempat, hak seksual dan reproduktif wanita telah ditarik balik, manakala di beberapa negara lain pula, gadis yang pergi ke sekolah berisiko diculik dan diserang’.

Turut tidak disebut ialah Iran yang disingkirkan daripada Suruhanjaya Status Wanita pada akhir 2022 kerana penindasan terhadap pemberontakan yang dipimpin oleh wanita sejak September tahun yang sama.

Republik Islam itu disingkirkan daripada suruhanjaya berkenaan pada 14 Disember 2022 menerusi undian diketuai Amerika Syarikat semasa Majlis Ekonomi dan Sosial PBB(ECOSOC).

“Sistem patriarki yang berterusan selama berabad-abad, diskriminasi dan stereotaip berbahaya telah mewujudkan jurang jantina yang ketara dalam bidang sains dan teknologi,” kata Guterres. Menurutnya, wanita mewakili hanya tiga peratus daripada pemenang hadiah Nobel dalam sektor tersebut.

Justeru, beliau menyeru ‘tindakan kolektif’ di seluruh dunia oleh kerajaan, masyarakat awam dan sektor swasta untuk menyediakan pendidikan responsif gender, meningkatkan latihan kemahiran dan melabur lebih banyak dalam ‘merapatkan jurang digital jantina’. – AFP

“Patriarki sedang melawan, begitu juga kami kami juga.

“PBB berdiri bersama wanita dan gadis di mana-mana sahaja,” tambah Guterres. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI