PETALING JAYA – Tanpa menyebut mana-mana nama secara spesifik, pelakon dan pengarah, Farid Kamil bertindak memerli seseorang didakwa memukul wanita yang kini isterinya, Diana Danielle sekitar 2005.
Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari menerusi untaian entri dalam InstaStory turut memaklumkan, akibat tindakan individu terbabit, isterinya mengalami trauma jangka panjang hingga sekarang.
“Untuk rekod, ya dia memukul wanita bernama Diana pada 2005. Laporan dibuat tapi tiada tindakan.
“Trauma sampai sekarang. Kasihan. Tiada siapa boleh back up (pertahankan) orang trauma itu.
“Sampai tahun 2023 masih memukul wanita lagi. Ambil gambar senyum dengan gigi palsu jari kasi tunjuk atas? Macho (gagah) ke pukul wanita ni?” tulisnya menerusi InstaStory.
Farid, 42, turut menasihatkan secara umum bahawa kaum wanita sepatutnya dilindungi, bukan ditakut-takutkan atau dipukul.
“Wanita penuh dengan kelembutan dan lirik mata mereka sangat indah. Hormati mereka bukan takut-takutkan dan memukul.
“Mencorak cantikkan industri juga. Politik, kadang-kadang sekali lima tahun,” tulisnya sinis penuh sindiran.
Sebagai info, isteri Farid iaitu Diana pernah membuat pendedahan dirinya menjadi mangsa pukul bekas teman lelakinya.
Perkongsian tersebut dibuat pada Disember tahun lalu, ketika sesi temu bual bersama pengacara program audio siar Studio Sembang kendalian pelakon jelita, Amelia Henderson.
Menurut Diana atau nama lengkapnya, Diana Danielle Danny Beeson, kejadian berlaku ketika dia berusia 17 tahun selepas menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). – KOSMO! ONLINE