KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan trend jumlah kes jangkitan Covid-19 dalam tempoh sebulan pertama tahun ini adalah dalam keadaan stabil di mana pelaporan harian kes dalam negara kekal dalam lingkungan 500 kes dan dilihat menunjukkan tren penurunan dengan sebanyak 226 kes pada 7 Mac 2023.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, sebagai langkah berterusan untuk menggalakkan lebih ramai penduduk Malaysia mengambil dos penggalak dengan beberapa langkah disediakan KKM antaranya pelanggan boleh membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera dan bebas memilih tarikh, masa, lokasi dan jenis vaksin yang dikehendaki.
“Selain itu, KKM turut menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak secara terus tanpa janji temu (walk-in) kepada golongan berisiko tinggi di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.
“KKM turut melaksanakan pemberian dos penggalak secara oportunistik iaitu Klinik kesihatan, hospital dan klinik swasta yang telah beroperasi sebagai PPV menawarkan dos penggalak kepada mana-mana pesakit dan pelanggan yang hadir untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit-penyakit lain,” jelasnya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang ingin tahu trend jumlah kes jangkitan Covid-19 bagi tempoh sebulan pertama tahun 2023 dan apakah langkah diambil Kementerian untuk pastikan rakyat mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.
Tambah Dr. Zaliha, antara langkah lain yang dilakukan KKM bagi mengatasi penularan Covid-19 adalah, melaksanakan polisi vial terbuka (open vial) di semua PPV yang mana setiap PPV boleh memberikan vaksin tanpa mengumpulkan pelanggan bagi memenuhi kuota satu vial vaksin. – KOSMO! ONLINE.