KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau tidak menyembunyikan sebarang fakta berkaitan dengan inisiatif kerajaan mengimport telur dari India.
Jelas Ahli Parlimen Kota Raja itu lagi, beliau juga berani dan bersedia mendedahkan sebarang maklumat yang diminta mana-mana pihak termasuk pembangkang berhubung inisiatif tersebut.
“Saya mengesahkan bahawa J&E Advance Tech sdn. Bhd. adalah syarikat tunggal yang diberi kebenaran untuk mengimport telur dari India, sebab kita buat inisiatif ini dalam keadaan nak menampung bekalan telur secara sementara, maka dibuat kepada kes khas.
“Pemberian permit import kepada syarikat itu tidak dibuat secara tender terbuka, memandangkan situasi bekalan telur yang meruncing memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.
“Kalau keadaan meruncing misalnya berlaku banjir atau kehilangan sumber bekalan kita boleh import menerusi mana-mana syarikat yang bersedia seperti dari Thailand, Turkiye dan negara lain,” jelasnya ketika sesi menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad turut menzahirkan keyakinan bahawa bekalan dan harga telur akan pulih semula kepada keadaan kira-kira lima tahun lalu, di mana Malaysia menjadi antara pengeksport telur terbesar dunia ketika itu.
“Dalam lima, enam tahun lalu, kita eksport telur. Situasi meruncing dalam masa dua tahun ketika penularan Covid-19 dan kita beri permit import itu untuk jangka pendek.
“Kita usaha sekarang dan berdialog dengan pihak pengeluar telur dan sebagainya, mereka berjanji untuk banjiri pasaran telur dalam waktu terdekat terutamanya menjelang Aidilfitri,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.