PASARAN emas semakin mendapat perhatian masyarakat sebagai pilihan menjana kewangan menerusi simpanan dan pelaburan ke atas logam berharga itu.
Dengan nilai stabil dan pulangan memberangsangkan, kewujudan beberapa agensi turut memeriahkan lagi senario pasaran emas.
Agensi ini bertanggungjawab memberi konsultasi dan menarik ahli membuat pelaburan.
Tidak hanya itu, ada agensi yang mewujudkan aplikasi sendiri bagi membantu pelabur memantau turun naik harga emas dan memberikan analisis terkini.
Tidak terkecuali membangunkan kemudahan tersebut adalah sebuah agensi di bawah syarikat pelaburan emas, Quantum Metal iaitu Angel Group yang melancarkan aplikasi, KiloGo.
Menurut salah seorang konsultan yang juga Speaker Rasmi Angel Group, Mohd. Hafiz Faizal Ibrahim, 38, idea dan pembangunan aplikasi KiloGo dicetus oleh dirinya dan pengasas Angel Group, Rukhaidah Abd. Karim bersama rakan konsultan, Dr. Asmadi Yusof.
“Aplikasi ini dibangunkan sebagai nilai tambah kepada aplikasi sedia ada yang dihasilkan oleh Quantum Metal.
“Ia diwujudkan bagi membantu memudahkan ahli menjana pelaburan dengan lebih baik.
“Tidak hanya itu, KiloGo turut mengekalkan ciri-ciri yang sama seperti aplikasi sedia ada dan menambah 12 ciri baharu untuk membantu ahli Angel Group dan orang ramai,” katanya kepada Infiniti baru-baru ini.
Tambahnya, pembangunan aplikasi bermula sejak September 2022 sebelum dilancarkan secara rasmi pada 27 Februari lalu.
Berkongsi tentang ciri-ciri menarik aplikasi KiloGo, Mohd. Hafiz Faizal memberitahu, salah satu yang menarik adalah pemberitahuan zakat emas.
Jelasnya, ciri itu dikatakan antara pertama seumpamanya kerana ia dibangunkan untuk mengingatkan pelabur tentang zakat emas yang perlu dibayar selepas cukup tempoh pelaburan atau simpanan.
“Ramai terlepas pandang tentang tuntutan membayar zakat terhadap emas kerana ia boleh digunakan untuk bermuamalah.
“Oleh demikian, dalam simpanan emas terdapat zakat yang perlu dibayar jika ia melepasi tempoh dan kadar ditetapkan.
“Ciri ini akan mengingatkan pelabur tentang zakat emas yang perlu dibayar termasuk anggaran bayaran dikenakan.
“Bagaimanapun, bagi mendapatkan jumlah yang tepat pengguna perlu merujuk kepada pusat zakat di negeri mereka,” ujarnya.
Tambahnya lagi, ciri itu turut memberikan peringatan kepada pengguna mengenai bayaran zakat bagi hasil bersih pelaburan mereka.
Kongsi lelaki berasal dari Kuantan, Pahang itu, ciri tersebut juga boleh digunakan oleh mereka yang bukan ahli Quantum Metal sebagai rujukan bagi simpanan emas fizikal.
“Ciri aplikasi ini juga akan ditambah baik pada masa akan datang dengan sambungan terus kepada lembaga pungutan zakat negeri.
“Ia bagi memudahkan pengguna mendapatkan jumlah bayaran zakat yang tepat dan terus membuat pembayaran.
“Pengguna boleh memuat turun aplikasi ini di Google Play dan App Store serta melanggan ciri zakat emas pada kadar RM4 sebulan,” jelasnya.
Selain ciri pemberitahuan zakat emas, graduan Universiti Teknologi Mara itu memberitahu, tarikan lain aplikasi berkenaan adalah pemberitahuan pantas harga emas terkini, analisis pergerakan harga emas semasa dan pengiraan keuntungan pelaburan.
Katanya, pemberitahuan pantas itu merupakan ciri yang baik bagi memaklumkan kepada pengguna tentang harga emas semasa.
Jelasnya, perkara itu dapat membantu pelabur menjual emas mereka pada harga tertinggi.
“Pemberitahuan ini boleh dikemas kini oleh pengguna mengikut kadar keuntungan dimahukan.
“Apabila emas mencapai harga dimahukan ahli, maka aplikasi ini akan memberikan ‘notifikasi’.
“Tidak hanya itu, kami turut melakukan analisis harga emas semasa yang terperinci supaya mudah difahami oleh ahli,” ujarnya.