PETALING JAYA – Angsa Emas Jewellery (Angsa Emas) bercadang untuk membuka lapan lagi outlet terbaharunya secara berperingkat sebagai usaha untuk mengembangkan penguasaan pasarannya di seluruh Semenanjung Malaysia.
Buat masa ini, syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2016 yang diasaskan oleh Datuk Zulhilmi Mukhtar dan Datin Normadora Mohd. Nor memiliki dua buah outlet di Bangi dan Shah Alam.
Menurut Zulhilmi, ini adalah masa terbaik untuk syarikat meluaskan pasarannya ekoran permintaan yang semakin bertambah daripada para pelanggan termasuk yang datang dari luar negara seperti dari negara jiran seperti Brunei dan Singapura.
“Kami memiliki kumpulan pelanggan tersendiri yang setia dengan jenama barangan kemas Angsa Emas, ia memiliki ciri-ciri berbeza daripada pesaing lain kerana reka bentuknya yang eksklusif dan berbeza melalui sentuhan unik daripada Koleksi Adore, Hagiaa dan Omnia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara Angsa Emas dengan Etiqa General Takaful Berhad serta pelancaran kad keahlian AEJ (Angsa Emas Jewellery) Takaful di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai perkhidmatan terbaharu itu, Zulhilmi menerangkan, pelanggan bakal mendapat perlindungan khairat kematian, diskaun membeli barangan kemas, mengumpul mata ganjaran dan menebus barangan kemas melalui mata ganjaran terkumpul hanya di outlet Angsa Emas.
Selain itu, tambah beliau, pemegang kad tersebut bakal mendapat manfaat berupa perlindungan kemalangan peribadi yang bernilai sehingga RM30,000 untuk kematian atau hilang upaya menyeluruh secara kekal yang disebabkan oleh kemalangan.
Pelan ini terbuka kepada mereka yang beragama Islam dan berumur antara 18 hingga 65 tahun. -KOSMO!ONLINE