PETALING JAYA – AmBank Group sedia membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh pelanggan dan perniagaan termasuk kakitangannya berikutan banjir yang melanda seluruh negara baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Group, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, pihaknya amat prihatin dengan kesukaran dihadapi rakyat Malaysia samada individu atau perniagaan yang terjejas.
“Justeru, bank komited untuk menyediakan bantuan banjir kepada semua pelanggan yang terjejas melalui Program Bantuan Banjir kepada pelanggan yang layak yang sedang bergelut dengan banjir.
“Pelanggan yang terjejas ditawarkan bantuan bayaran balik sehingga enam bulan untuk semua pinjaman dan kemudahan pembiayaan termasuk kemudahan kad kredit, tanpa caj lewat atau penalti dikenakan sepanjang tempoh bantuan bayaran balik.
“Selain itu, pelanggan yang berhasrat untuk menukar buku simpanan, buku cek, sijil simpanan tetap, kad ATM, kad kredit dan debit akan diberikan pengecualian daripada semua caj sampingan dan penggantian untuk membantu meringankan beban mereka,” ujarnya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Perbankan Runcit AmBank, Aaron Loo berkata, cawangan, pengurus-pengurus perhubungan serta pusat panggilan juga bersedia untuk membantu pelanggan yang terjejas dalam mendapatkan program bantuan banjir tersebut.
‘Kami memahami kesulitan yang dihadapi dan kami akan menjalankan tanggungjawab membantu meringankan beban kewangan pelanggan di masa yang sukar ini.
“Para pelanggan AmBank yang mengalami kesulitan dan gangguan akibat banjir boleh menghubungi cawangan berdekatan atau Pusat Perhubungan 24 jam AmBank di talian 03- 2178 8888,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE.