DUBLIN – Seorang lelaki warga emas di Ireland yang berdepan 65 pertuduhan berkaitan kesalahan seksual telah ditembak mati di rumahnya, lapor akhbar Mirror UK.
John Brogan, 83, dibebaskan daripada 20 pertuduhan melakukan serangan seksual empat hari sebelum dia mati ditembak di rumahnya yang terletak di pinggir bandar Castlebar petang Ahad lalu.
Suspek yang membunuh Brogan cuba menyembunyikan bahan bukti dengan membakar rumah warga emas itu sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
Sejurus selepas penemuan mayat Brogan, seorang suspek berjaya diberkas dan disoal siasat oleh polis di Balai Polis Castlebar.
Dakwaan terhadap Brogan termasuk melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita antara Mac 2004 dan Mac 2009 ketika lelaki itu berusia antara 64 hingga 69 tahun.
Brogan turut dijadualkan menghadapi perbicaraan untuk 45 pertuduhan selebihnya akhir tahun ini.
Sumber mengesahkan bahawa Brogan menghadapi lapan pertuduhan serangan seksual yang dilakukan ke atas seorang wanita lebih 40 tahun lalu antara Januari 1991 dan Oktober 1992.
Dia juga didakwa melakukan 37 serangan tidak senonoh terhadap seorang wanita antara 1982 dan 1991. Jika sabit kesalahan, Brogan berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun. – Agensi