fbpx

Ujian berganda jari kena potong, diserang strok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nor menjadi tulang belakang keluarga dengan membuat jebak semasa dia sihat sebelum ini.

KUALA TERENGGANU – Ujian menimpa seorang suri rumah apabila suami yang menjadi tulang belakang keluarga diuji de­ngan masalah kesihatan berterusan sejak setahun lalu.

Nor Afida Akma Mohamad, 44, berkata, suaminya, Mohd. Nor Aziz, 46, yang membuat kerja pe­rangkap burung atau jebak untuk menyara keluarga diserang strok di rumah mereka di Kampung Pantai Ali, Hulu Terengganu pada Jumaat lalu.

“Serangan (strok) itu berlaku tiba-tiba pada waktu maghrib (Jumaat lalu) menyebabkan pergerakan suami menjadi lemah dengan bahagian muka kirinya herot. Saya panik terus meminta pertolongan jiran dan ahli keluarga terdekat,” katanya di sini semalam.

Nor Afida memberitahu, suaminya, Mohd. Nor yang merupakan bekas graduan Universiti Islam Antarangsa Malaysia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dengan ambulans.

Ibu kepada tiga anak berusia lapan hingga 14 tahun itu memaklumkan sebelum ini, dua jari kaki suaminya telah dipotong akibat komplikasi diabetes kronik pada Mac tahun lalu.

“Saya tidak menyangka kami diuji lagi dengan kesihatan suami dalam tempoh hampir setahun selepas dua jari kakinya dipotong, walau bagaimanapun kami reda dengan ujian ini.

“Walaupun masih lemah dan pertuturannya tidak lancar, suami masih sempat mengingatkan saya tentang tempahan jebak yang masih belum dihantar kepada pelanggan,” kata wanita itu.

NOR AFIDA bersama suaminya, Mohd. Nor yang berkerusi roda dan
anak-anak mereka sebelum diserang penyakit strok.

Nor Afida menambah, suaminya rungsing kerana perlu berehat lama daripada membuat jebak kerana ia merupakan satu-satunya sumber pendapatan mereka sekeluarga.

Wanita itu cuba menenangkan suaminya dan berjanji akan mengambil alih tanggungjawab menghasilkan jebak sehingga kesihatan pasangannya kembali pulih.

“Kehidupan perlu diteruskan apatah lagi kelengkapan persekolahan dan persiapan raya anak-anak perlu disediakan.

“Saya tidak pernah berhenti berdoa agar suami yang sedang menerima rawatan di HSNZ kembali sihat seperti sediakala,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumba­ngan menerusi akaun Agrobank Mohd. Noor bernombor 2-00-6561-00013992-8 atau menghubungi Nor Afida Akma di talian 011-36599550.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI