fbpx

Trend klasik hitam dan putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gabungan hitam dan putih terus ditampilkan di pentas-pentas fesyen.

Kesederhanaan rona monokromatik hitam dan putih menjadikan ia trend klasik yang malar segar dan sentiasa menjadi antara trend yang mendominasi pilihan kita dalam berpakaian.

Ia cukup mudah digayakan kerana keseimbangan kombinasi hitam dan putih yang sentiasa memberi impak positif dan menarik pada si pemakainya. Rona hitam dan putih sememangnya adalah simbol wanita klasik yang tegas dan rapi dalam penampilan.

Dalam dunia kontemporari yang mencabar dan rumit, ia adalah sesuatu yang amat meyakinkan dengan pilihan yang kemas, ringkas dalam rona hitam dan putih – terutamanya apabila ia dipersembahkan dalam rona monokromatik variasi reka cora polka dots, petak, struktur jalur, grid, geometrik, blok warna dan cetakan menegak/ serong (yang dapat memberi ilusi optikal cukup menarik pada potongan badan).

Kombinasi hitam dan putih menyerlahkan gaya kontemporari yang bersahaja, memikat, anggun dan penuh keterampilan.

Trend ini terbukti antara yang paling popular, dalam tiap musim koleksi terbaharu pereka antarabangsa.

Sama ada dipakai siang atau malam, majlis rasmi atau santai (kasual), hasilnya kombinasi hitam dan putih sentiasa tidak mengecewakan, serta menjadikan kita tampak lebih muda.

Perbezaan hitam dan putih (dalam rekaan fesyen) sentiasa dapat menjadikan bentuk tubuh lebih menarik, kurus dan dapat menyembunyikan kekurangan yang ada.

Ikuti tip-tip penggayaan monokramatik hitam dan putih ini.

 

Kombinasi blaus, skirt
Padankan blaus dengan reka corak sederhana atau sebagai alternatif pilih top polka dot dan skirt jalur yang kedua-duanya dalam warna hitam dan putih. Cuba padankan kasut hitam, putih atau kombinasi dua warna tersebut dan gaya solekan pula perlu tidak berlebihan.

 

Polos dan corak
Terdapat pelbagai skirt/ seluar dalam variasi reka corak hitam dan putih di pasaran. Paling mudah, cuba gayakan ia dengan top rona polos hitam dan jika berani cuba lengkapkan gaya dengan aksesori metalik. Anda juga boleh mencuba padanan top/ blaus dengan reka corak hitam putih dan skirt/ seluar polos hitam atau putih.

 

Padanan putih dan aksesori hitam, hitam dan aksesori putih

Bagi mereka yang gemar memakai padanan pakaian yang kesemuanya putih, saya ingin sarankan satu idea menarik.

Apa kata anda tampilkan sekali padanan rona hitam dalam bentuk kasut dan aksesori seperti kaca mata hitam, beg dan skaf untuk gaya super chic dan urban?

Begitu juga sebaliknya anda juga boleh mengaplikasikan konsep yang sama iaitu memadankan rekaan top dan skirt/seluar atau gaun dalam warna hitam dengan aksesori putih.

Antara gaya menarik juga ialah gabungan kemeja-T putih dan seluar hitam, pakaian hitam dipadankan dengan aksesori putih.

Rekaan fesyen yang menggabungkan hitam dan putih paling sesuai apatah lagi menjadikan kasut hitam sebagai pelengkap gaya.

Hitam dan putih trend malar segar.

Paling istimewa kombinasi hitam dan putih bukan hanya hebat digayakan dari hujung rambut ke hujung kaki tetapi juga menyerlah apabila dipadankan dengan jean biru atau aksesori berani (bold).

Suntikan rona lain
Jika anda tetap mahu menambah warna lain bersama padanan hitam dan putih, pilihan yang tepat adalah rona semula jadi seperti coklat, perang atau metalik bagi menyuntik rona ceria pada skaf, beg atau kasut. Bagaimanapun perlu diingat, tambahan warna lain akan mengurangkan impak keseluruhan.

Garisan kemas
Warna hitam dan putih dengan ciri-ciri potongan dan garisan kemas serta siluet yang mantap, kekal diminati kerana keistimewaannya yang boleh menjadikan sesiapa sahaja kelihatan begitu anggun sebaik sahaja menggayakannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI