LUMUT – Tiga wanita maut dipercayai lemas apabila dua bot membawa 21 orang berlanggar di perairan Lumut tidak jauh dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu tiga mangsa yang maut berusia antara 26 hingga 43 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian melibatkan sebuah bot yang membawa 17 penumpang dan seorang tekong dari arah Lumut menuju ke Pulau Pangkor manakala sebuah bot lagi dinaiki seorang tekong bersama dua penumpang dari Pulau Pangkor ke Lumut.
“Akibat pelanggaran tersebut, seramai 10 penumpang dalam bot dari arah Lumut terjatuh ke dalam laut. Kedua-dua tekong bot tersebut bagaimanapun berjaya menyelamatkan kesemua mangsa yang kemudian dihantar ke Hospital Angkatan Tentera (HAT).
“Pihak HAT memaklumkan tiga mangsa telah meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, seorang mangsa juga wanita berumur 43 tahun kini menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) HAT TLDM Lumut, manakala 17 lagi mangsa dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama. – KOSMO! ONLINE