fbpx

Tanah runtuh di Riau ragut 15 nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk memeriksa keadaan sebuah kampung yang dilanda tanah runtuh di Natuna, wilayah Riau, semalam. – AFP

JAKARTA – Sekurang-kurangnya 15 orang terkorban manakala berpuluh-puluh lagi dikhuatiri hilang selepas hujan lebat dan tanah runtuh melanda salah sebuah pulau yang berada di bahagian paling luar Indonesia serta bersempadan dengan Laut China Selatan, kata pegawai-pegawai semalam.

Beberapa gambar yang diedarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) menunjukkan lumpur dan serpihan tanah runtuh menenggelamkan beberapa rumah yang terletak berhampiran tebing di Pulau Serasan.

Serpihan zink atap yang tercabut dari bumbung rumah dan pokok tumbang juga boleh dilihat dengan jelas.

Lokasi terpencil kampung tempat berlakunya tanah runtuh di Natuna, wilayah Riau itu yang digabungkan dengan keadaan cuaca buruk serta jaringan komunikasi yang terputus telah merumitkan usaha menyelamat.

“Kemas kini terkini adalah 50 orang masih hilang manakala 15 yang terkorban telah dipindahkan,” kata Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Natuna, Abdul Rahman.

Sementara itu, jurucakap Agensi Badan Mitigasi Bencana Kepulauan Riau, Junainah berkata, jaringan komunikasi yang terputus antara pulau Borneo dengan Semenanjung Malaysia telah menyukarkan pihak berkuasa mendapatkan maklumat terkini.

“Cuaca sukar dijangka. Angin amat kuat dan ombak sangat tinggi,” ujarnya.

Jurucakap BNPB, Abdul Muhari pada petang semalam berkata, 60 pasukan mencari dan menyelamat telah dikerahkan ke kawasan terjejas dari pelabuhan Penagi di Pulau Natuna.

“Kebiasaannya, perjalanan mengambil masa selama lima jam menggunakan bot laju.

“Esok (hari ini), agensi mitigasi BNPB akan mengerahkan sebuah helikopter untuk mempercepatkan proses penyerahan logistik,” katanya kepada Kompas TV. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI