fbpx

Syamsul Yusof enggan ceraikan, geleng kepala dakwaan pukul Puteri Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAMSUL enggan melepaskan isteri pertamanya, Puteri Sarah dalam prosiding pertama sebutan kes cerai mereka di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Pengarah sensasi, Syamsul Yusof mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung dakwaan terbaharu Puteri Sarah yang mendedahkan pernah dipukul suaminya itu tiga tahun lalu.

Pengarah The Original Gangster itu hanya menggelengkan kepala ketika ditanya kumpulan media yang menunggunya di luar kamar Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.

Malah pemilik nama sebenar Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, itu juga tidak memberi sebarang komen berkenaan keengganan menceraikan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin seperti dipohon isterinya itu.

Sebaik Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas, mengarahkan pasangan berkenaan dirujuk kepada Jawatan Kuasa Pendamai (JKP), anak penerbit filem terkenal, Datuk Yuso Haslam itu terus keluar meninggalkan mahkamah.

Diiringi peguamnya, Roshdan Sujak, Syamsul dilihat hanya menunjukkan isyarat jari tanda aman selain Allah yang satu.

Pertanyaan mengenai keengganannya melepaskan pelakon Puteri Sarah juga tidak mendapat sebarang reaksi.

Begitupun, Roshdan ketika berhujah di mahkamah berkata, setakat ini Syamsul tidak mahu menceraikan Puteri Sarah kerana menyifatkan masih ada sinar untuk memperbaiki hubungan perkahwinan mereka.

“Masih ada sinar untuk pasangan ini. Pihak kami tidak setuju pelantikan hakam untuk kes perceraian ini,” katanya.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan perceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Berdasarkan dokumen, antara alasan dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tiada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4, tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI