MANILA – Suspek yang menembak mati gabenor Filipina maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis kelmarin, lapor laman berita Thaiger.
Dalam kejadian itu, pihak polis turut memberkas tiga lagi suspek lain.
Gabenor wilayah Negros Oriental, Roel Degamo dan lapan yang lain mati ditembak dalam serangan di kediamannya sendiri pada pagi Sabtu lalu.
Enam lelaki bersenjata yang berpakaian seperti uniform tentera menyerbu kediaman Degamo dan melepaskan tembakan.
Tanpa belas kasihan, mereka melepaskan tembakan rambang mengakibatkan 17 cedera manakala angka kematian adalah sembilan orang.
Polis bertindak pantas menahan tiga suspek dan siasatan mengenainya masih diteruskan.
Laporan turut mendedahkan dua daripada suspek yang ditahan merupakan bekas askar yang pernah dipecat beberapa tahun lalu.
Polis turut mengesahkan suspek keempat ditembak mati dalam pertempuran dengan pihak berkuasa di sebuah ladang tebu berhampiran manakala 10 yang lain masih bebas.
Degamo merupakan ahli politik yang disegani yang berkempen untuk Presiden Ferdinand Marcos Jr. ketika beliau merebut jawatan tersebut tahun lalu.
Marcos Jr. turut mengecam pembunuhan sekutunya itu dan telah mengerahkan pegawai-pegawai tertinggi untuk menyiasat kes tersebut. – Agensi