fbpx

Suami tak mampu menipu, isteri boleh tahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kehadiran orang ketiga menjadi punca kepada keruntuhan rumah tangga. - GAMBAR HIASAN

Ketika bujang, orang lelaki dia hentam kromo. Maksudnya, dalam hidup dia, dia akan buat apa sahaja yang dia suka.

Baik ketika belajar, membuat tugasan yang diberi pensyarah, bermain ketika di bangku sekolah rendah hinggalah ketika dia mengubah suai kenderaan yang dimulakan dengan basikal.

Aktiviti lasak dan mencabar itu yang dicari oleh budak lelaki. Seluar koyak atau kotor mahupun hilang pensel setiap hari bukan masalah dia. Asalkan dia gembira dan dapat keluar bermain itu sudah mencukupi untuk hari itu.

Berbeza dengan perempuan. Mereka ini lebih cermat dan menjaga barangan mereka secara total. Setiap pergerakan yang berlaku pada barang yang diletakkan di dalam bilik khususnya, dia akan tahu jika dialihkan.

Ingatan mereka juga kuat. Dia boleh ingat setiap peristiwa penting yang berlaku dalam hidup atau yang berkaitan dengan ahli keluarganya. Begitu istimewa kaum hawa ini.

Apabila sudah memasuki alam pekerjaan dan perkahwinan, lelaki yang suka hentam kromo itu tadi perlahan-lahan akan belajar untuk mendisiplinkan diri. Dia akan tahu bahawa wanita itu sukar untuk difahami tetapi cukuplah hanya menyayangi.

Jika sesama lelaki bujang, mereka mudah untuk mencari alasan untuk berbohong atau menipu, tetapi jangan sesekali cuba dengan wanita yang sudah bergelar isteri.

Lebih mudah apabila si lelaki itu jenis yang tidak pandai mencari alasan untuk berbohong jika ditanya secara spontan oleh isterinya.

Sorok macam mana pun, isteri boleh tahu. Dari gaya jawapan dan bahasa tubuh memang dia boleh baca. Langsung tak boleh nak mengelak lagi.

Begitulah Tuhan itu Maha Adil. Wanita yang disifatkan sebagai orang yang lemah dalam kalangan manusia, diberikan kelebihan untuk menilai lelaki yang sering sahaja terperangkap dalam penipuan yang diciptanya sendiri.

Jangankan kata hendak sorok jika mempunyai skandal, kesan ‘dosa’ akibat pergi memancing pun boleh dihidunya.

Begitu banyak contoh yang sudah terjadi ketika ini. Daripada kisah rumah tangga artis, sehinggalah penipuan ‘suci’ yang dilakukan oleh kebanyakan pensohor media sosial.

Terbaharu, ada pelakon ditahan selepas menumbuk isterinya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata.

Kuasa wanita ini amat dahsyat. Ia boleh mengangkat dan menjatuhkan seseorang itu dengan mudah dan pantas. Jika tidak, takkanlah semua lagu yang ada di dunia ini hanya berkisar mengenai wanita.

Boleh dibilang lagu yang dibuat untuk lelaki. Kementerian pun hanya ada untuk wanita. Di mana si lelaki hendak pergi mengadu pun kami tidak tahu. Harapkan ketua kampung sahajalah kerana dia pun lelaki dan sudah tentu memahami masalah sesama kaum.

Namun, dalam kata banyak benda di dunia ini yang berpihak kepada wanita, mereka ini sebenarnya tidak mungkin hidup tanpa lelaki. Itu adalah fakta yang tidak boleh diubah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI