PASIR MAS – Taktik licik sindiket penyeludupan yang menyembunyikan 300 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM10.8 juta di dalam bungkusan kurier dari Thailand terbongkar selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membawa semua dadah itu ditinggalkan di kebun getah di Kampung Batu Balai Kuala Krai, hari ini.
Polis menjalankan serbuan kira-kira pukul 7.30 pagi tadi selepas menahan sebuah MPV jenis Proton Exora yang dipandu oleh seorang lelaki di kawasan kebun getah itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, MPV tersebut dilihat dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum berselisih dengan kereta peronda polis (MPV) semasa dalam perjalanan dari arah Sungai Durian, Kuala Krai ke Gua Musang.
Menurutnya, sebaik sahaja menyedari kenderaan dipandunya diekori polis, suspek kemudiannya meninggalkan MPV tersebut di kebun getah sebelum lari ke dalam kawasan semak sehingga gagal dikesan.
“Pemeriksaan di dalam MPV tersebut telah menbawa kepada penemuan 300 kg dadah jenis syabu di dalam 12 guni yang diletakkan di tempat duduk penumpang belakang.
“Setiap satu guni itu mengandungi sebanyak 25 bungkusan yang dibungkus menggunakan plastik kurier dari Thailand. Siasatan lanjut mendapati, kesemua dadah-dadah itu dianggarkan bernilai RM10.8 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, dadah yang dirampas itu boleh dijual kepada 3 juta penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran.
Menurutnya, dadah tersebut dipercayai akan dijual untuk pasaran luar Kelantan dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menjejaki suspek yang memandu MPV itu.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE