PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan tindakan reman ke atas Bendahari Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Salleh Bajuri baru-baru ini dibuat mengikut kehendak dan keperluan kes.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan itu dibuat mengikut peraturan ditetapkan dan kehendak siasatan ketika itu.
“Kita sebagai agensi penguat kuasa mengikut peraturan yang sudah ditetapkan dan penahanan dibuat atas kuasa budi bicara pegawai penyiasat.
“Saya menyerahkan kepada pegawai penyiasat saya dan mereka memikirkan ada keperluan untuk menjalankan tangkapan dan reman,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dengan Universiti Teknologi Mara (Uitm) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) di sini hari ini.
Salleh ditahan reman selama dua hari bermula Khamis lalu hingga semalam selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada Rabu untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh Bersatu kepada pembekal dan vendor parti.- KOSMO! ONLINE