KUALA LUMPUR – “Saya pernah dipukul suami. Saya tak buka cerita mengenai kejadian itu tetapi Syamsul tidak mahu melepaskan saya.”
Itu bukti baharu yang terpaksa didedahkan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin dalam prosiding sebutan pertama kes perceraian difailkan terhadap Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.
Ketika ditemui di luar kamar perbicaraan, pelakon itu mendakwa tidak melaporkan mengenai tindakan kasar Syamsul ketika itu disebabkan wujud rasa cinta.
Sarah turut mendakwa, ibu mentuanya, Datin Patimah Ismail merupakan individu yang menjadi penyelamat dengan membawanya keluar dari rumah.
“Masa itu tak buat (laporan polis) sebab sayang. Bila orang kata saya buka aib ketika itu, saya tak nak buat apa-apa tindakan atau buat laporan polis malah tiada siapa yang tahu mengenai perkara itu.
“Yang selamatkan saya ialah ibu mentua saya. Dia yang keluarkan saya dari rumah pada kejadian sekitar tahun 2020. Syamsul pun tahu kenapa (keluar rumah),” katanya kepada Kosmo! Online.
Sementara itu, peguam syarie yang mewakilinya, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, insiden melakukan kekerasan terhadap anak guamnya itu merupakan antara punca Puteri Sarah keluar dari rumah.
“Itu (dipukul) antara fakta mengapa Sarah membuat keputusan keluar rumah. Kami kemukakan fakta ini selepas Syamsul menuduh anak guam saya bertindak keluar dari rumah (nusyuz).
“Jadi pihak kami perlu memberikan penerangan kepada mahkamah apa yang sebenarnya berlaku dan selepas itu Sarah kembali ke rumah atas sebab jasa baik pihak keluarga mentua.
“Jadi, Syamsul memberi andaian dan gambaran bahawa anak guam saya yang keluar ke rumah tanpa izin. Itu tidak betul sebab anak guam saya ada asas,” ulasnya lagi.
Terdahulu, Puteri Sarah dan Syamsul diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah, di sini, hari ini supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan mereka demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
Pada prosiding tersebut, aktres berusia 38 tahun yang diwakili peguam Akberdin, manakala Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, diwakili peguam syarie Roshdan Sujak.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tidak ada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami dan isteri menurut hukum syarak.
Permohonan cerai tersebut difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Konflik rumah tangga pasangan itu mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi Syamsul tidak pernah membuka mulut mengenainya.
Bagaimanapun pada Januari lalu, Syamsul akhirnya mengaku sudah bernikah dengan orang ketiga yang didakwa menjadi punca keretakan rumah tangganya bersama Sarah iaitu Ira Kazar.
Susulan pendedahan tersebut, topik mengenai kemelut rumah tangga Sarah dan Syamsul serta kehadiran Ira Kazar menjadi hangat dalam kalangan netizen.
Puteri Sarah dan Syamsul yang mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4. – KOSMO! ONLINE