PUTRAJAYA – Rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta atas sembilan pertuduhan rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak, akan didengar di Mahkamah Rayuan di sini pada 26 Jun ini.
Peguam Siti Sarah Khalil yang mewakili Mohd. Isa ketika dihubungi berkata, tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Muhammad Noor Firdaus Rosli pada pengurusan kes selepas pihaknya memohon penangguhan pendengaran rayuan yang sepatutnya berlangsung hari ini.
“Kami mohon penangguhan kerana kami memerlukan masa untuk membalas hujahan pihak pendakwaan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi turut mengesahkan tarikh tersebut.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021.
Untuk rekod pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd. Isa, 73, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, oleh Felda.
Kesalahan itu dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur di antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.
Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd. Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai. – KOSMO! ONLINE