CHICAGO, ILLINOIS – Sebilangan peminat coklat Toblerone terkejut apabila mengesan simbol tersembunyi dalam logo jenama coklat itu yang selama ini tidak pernah disedari, lapor akhbar The Sun semalam.
Menerusi hantaran di media sosial, beberapa pengguna memberitahu bahawa mereka baru menyedari terdapat gambar seekor beruang pada logo Gunung Matterhorn di bahagian tepi coklat berbentuk piramid itu.
Mereka turut membuat spekulasi bahawa gambar beruang itu akan turut ‘hilang’ selepas logo gunung tersebut dihapuskan.
“Saya telah memakan coklat Toblerone selama separuh abad, namun hari ini saya baru sedar bahawa bukan sekadar Gunung Matterhorn, logo itu turut mempunyai gambar beruang,” kata seorang pengguna.
Sejak 1908, Toblerone telah dihasilkan di ibu negara Switzerland, Bern, di mana beruang sering ditemui di atas Gunung Matterhorn.
Pemilik jenama coklat itu yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Mondelez, semalam mengumumkan imej gunung itu akan dihapuskan pada logonya, dan akan digantikan dengan gambar puncak alpine yang lebih generik.
Syarikat tersebut pada tahun lalu mengumumkan rancangan untuk memindahkan proses penghasilan coklat itu dari Switzerland ke Bratislava, yang merupakan ibu negara Slovakia.
Keputusan berkaitan pertukaran logo itu adalah sejajar dengan undang-undang Switzerland yang melindungi item yang didakwa berasal dari negara tersebut di bawah Akta Swissness. – Agensi