PASIR MAS – Seorang lelaki dicekup selepas dipercayai menyimpan sebanyak 7.1 tan minyak masak peket subsidi yang bernilai RM17,860 tanpa kebenaran di sebuah rumah di Kampung Jal Kechik, Tumpat di sini semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Cawangan Pasir Mas, Suhaimi Abas berkata, serbuan di rumah tersebut kira-kira pukul 4.30 petang dan pemeriksaan mendapati rumah tersebut berada dalam keadaan mencurigakan apabila disyaki menyimpan barangan kawalan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di kawasan rumah itu telah menemui minyak masak peket bersubsidi seberat 7,140 kilogram disimpan di tepi rumah berkenaan sudah empat hari.
“Suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an juga didapati tidak mempunyai lesen berniaga. Siasatan lanjut mendapati, kesemua bekalan minyak masak itu diperoleh dari luar Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE