KUALA LUMPUR – Kerjasama antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan pemain industri teknologi kewangan digital mampu melahirkan lebih ramai pakar keselamatan siber dalam memenuhi keperluan negara di masa akan datang.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin berkata, negara kini memerlukan lebih ramai pakar keselamatan siber memandangkan penggunaan teknologi digital kini kian meluas di peringkat global mahupun dalam negara selain berkemungkinan menghadapi risiko terhadap serangan siber.
“Hubungan dengan industri juga membolehkan universiti melihat sama ada kurikulumnya terkini, sesuai dengan keperluan industri dan apakah pekerjaan yang ada pemintaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mendatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Mastercard di Kampus UTM, di sini hari ini.
MoU berkenaan, bertujuan bagi meningkatkan keupayaan kapasiti UTM selain melahirkan lebih ramai bakat dalam menangani keselamatan siber ditandatangani antara Naib Canselor UTM Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan Mastercard Matthew Driver.
Berhubung MoU berkenaan, Khaled berkata UTM dipilih oleh Mastercard sebagai rakan kolaborasi dalam memberi peluang kepada orang ramai menerima latihan melalui tawaran melalui bidang keselamatan siber di universiti tersebut.
Tambahnya, Mastercard akan mewujudkan sebuah pusat pemindahan ilmu dalam menjalankan penyelidikan berhubung isu keselamatan siber.
“Mastercard juga akan menghantar pakar untuk melihat kepada kurikulum yang disediakan UTM selain memberi syarahan…apa yang penting Mastercard juga akan bangunkan tenaga pakar dari kalangan pensyarah UTM, supaya selepas itu UTM pula meneruskan usaha ini.
“Mastercard melalui kerjasama ini secara berkala akan terus adakan hubungan untuk meningkatkan kemampuan dan keupayaan universiti tersebut sebagai pusat melahirkan dan melatih pakar dalam penggunaan digital dan menghadapi cabaran yang lahir daripadanya termasuk sekuriti siber,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE