fbpx

KPDN rampas 2,662 beg, jam tiruan di Petaling Street

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barangan yang dirampas KPDN dalam Op Putra di Jalan Petaling, kelmarin.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Op Putra merampas sebanyak 2,662 barang disyaki tiruan dianggarkan bernilai RM570,000 di sekitar Jalan Petaling, di sini, kelmarin.

Serbuan itu dijalankan oleh pegawai dan anggota daripada KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menahan dua pemilik stor.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, pihaknya menyerbu tujuh stor yang dijadikan tempat penyimpanan barang tiruan terdiri daripada beg, dompet, beg tangan dan jam tangan berjenama.

Katanya, kesemua barangan tersebut telah disita kerana disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

“Hasil maklumat mendapati kesemua barangan ini dibawa masuk dari luar negara dan kesemua stok ini dijual dipercayai kepada pelancong warga asing yang datang ke Jalan Petaling.

“Kesemua barangan yang disita ini adalah barangan tiruan yang berkualiti tinggi dan dijual dengan harga RM500 sehingga RM4,000 seunit,” katanya dalam sidang akhbar, di Stor KPDN hari ini.

Menurut Ariffin, siasatan juga mendapati sebuah jam tangan tiruan berjenama dijual dengan harga RM750 sehingga RM4,000 dan harga kos sebuah jam tangan adalah RM300 sehingga RM2,000 bergantung kepada kualiti barangan.

Beliau turut menegaskan tiada istilah ‘Petaling Street’ atau Jalan Petaling kebal daripada tindakan undang-undang.

“Kita memberi amaran mana-mana individu atau syarikat supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada.

“Siasatan turut dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” ujarnya.

Dalam pada itu, sebanyak 25 kes disiasat membabitkan nilai RM1.2 juta dengan barang sitaan sebanyak 24,537 unit manakala seramai 13 individu ditaha di bawah Ops Jeriji 4.0 berkaitan dengan harta intelek bagi tahun ini.

“Kesemua siasatan berhubung rampasan berkenaan dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI