PETALING JAYA – Pendakwah bebas, PU Syed tidak ‘termakan’ dengan ejekan serta cacian peminat fanatik Blackpink apabila kumpulan K-Pop popular itu berjaya melunaskan konsert mereka di Malaysia, Sabtu lalu.
Syed atau nama lengkapnya, Syed Mohd. Bakri Syed Ishak tidak kisah apabila diperlekeh segelintir pihak susulan persembahan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu berlangsung dengan lancar tanpa sebarang gangguan cuaca buruk hujan yang membelenggu beberapa negara utama tanah air.
“Bergelak ketawalah sepuas-puas hati kalian. Kelak kami juga mampu ketawa seperi kalian. Di sana (akhirat).
“Cukup ramai peminat kumpulan K-Pop hantar direct message (dm) ambe (saya) dengan kata-kata ejekan dan caci maki,” coret Syed menerusi media sosialnya.
Terdahulu, Syed memberi perbandingan atau analogi suasana banjir melanda beberapa negeri utama sejak minggu lalu dengan konsert Blackpink yang berlangsung di ibu negara.
Pendakwah itu memanjatkan doa agar ujian banjir dialihkan ke stadium iaitu lokasi konsert Blackpink berlangsung, Sabtu lalu.
“Johor dan Pahang serta Sarawak tengah bersedih asbab banjir. Konsert Blackpink tetap terus dianjurkan.
“Bala bencana hadir silih berganti namun manusia masih lagi seronok menabur maksiat di mana-mana sahaja. Tak terdaya nak halang.
“Hanya berdoa agar banjir dialihkan Allah ke Stadium Nasional Bukit Jalil biar mereka berkonsert dalam banjir,” katanya.
Sabtu lalu, Blackpink mencatat sejarah menjadi antara artis kedua menjayakan konsert dengan paling banyak jumlah penonton yang pernah diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Konsert Siti pada 2004, Fantasia Tour mencatatkan jumlah penonton lebih 70,000 penonton di lokasi yang sama iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Blackpink yang dianggotai empat wanita seksi, Jisoo, Jennie, Rosé serta Lisa hadir ke Malaysia dan berjaya menghimpunkan jumlah penonton seramai 62,000 di lokasi ikonik tersebut bersempena konsert jelajah dunia mereka, Born Pink. – KOSMO! ONLINE