fbpx

Jangan keluarkan kenyataan singgung institusi diraja – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang agar tidak menyinggung institusi diraja dalam mengeluarkan sebarang kenyataan berkait larangan kepada ahli politik untuk memberikan ceramah atau kuliah di masjid juga surau.

Anwar berkata, soal kebenaran tersebut (memberikan kuliah atau ceramah) adalah terpakai kepada semua pihak termasuklah beliau sendiri yang merupakan perdana menteri.

“Beliau (Abdul Hadi) harus faham bahawa kuasa agama di sesebuah negeri itu adalah di bawah kuasa raja-raja.

“Semalam di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah saya ada menyebut dalam ucapan bahawa Tuanku telah memerintahkan agar masjid- masjid diimarahkan cuma ia tidak boleh menjadi kuliah politik,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sekiranya larangan itu didakwa sebagai agenda politik, maka ia adalah tidak benar kerana kerana keputusan itu dibuat oleh baginda sebelum bertemu dengannya (semalam) dan bukannya dibuat selepas berunding dengan beliau.

“Rasional keputusan untuk membuat larangan tersebut adalah kerana terlalu banyak bicara soal agama di masjid juga surau yang terlalu keras jalur politiknya.

“Jadi jika beliau (Abdul Hadi) tidak bersetuju dengan keputusan tersebut maka haruslah dibawa dan persembahkan kepada Tuanku, jangan pula diserang kerajaan,” ujar beliau.

Terdahulu, Abdul Hadi pada 4 Mac lalu mengeluarkan kenyataan menegaskan bahawa bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas larangan terhadap semua ahli politik termasuk ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri (ADUN) serta ahli Dewan Negara memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di Terengganu, termasuk khutbah Jumaat.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Abdul Hadi bahawa Perikatan Nasional berhak untuk menjatuhkan kerajaan, Anwar berkata, ia hanyalah sekadar naratif Timbalan Pengerusi parti pembangkang tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI