PETALING JAYA – Hubungan seorang anak dan ibunya yang terputus selama lapan tahun akhirnya kembali bertaut selepas pencarian lelaki itu tular di media sosial sejak kelmarin.
Lelaki tersebut, Izam Jamaludin, 31, dikatakan telah bertemu dengan ibunya yang terlantar sakit akibat kanser di sebuah hospital.
Seorang guru, Mohd. Fadli Salleh berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp seorang individu yang memaklumkan Izam berada di hospital dan keadaan lelaki itu sihat.
“Izam baru sampai (hospital). Mak dia seronok, sihat gemuk bulat dia (Izam),” kata individu itu.
Menurut Mohd. Fadli, kuasa tular dalam media sosial berjaya menyatukan semula hubungan dua beranak yang sudah lama terpisah iaitu kira-kira lapan tahun.
“Terima kasih atas usaha semua yang bantu kongsi. Syukur, sempat dia jumpa ibunya. The power of media sosial (kuasa media sosial) ini lain macam perginya,” katanya.
Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan seorang ibu yang sedang tenat di hospital sedang mencari anak lelakinya yang dipercayai sudah lapan tahun hilang tanpa dikesan. – KOSMO! ONLINE