PETALING JAYA – Gelagat seorang gadis sakan menari sehingga disamakan seperti ‘Pak Maun’ dalam filem P.Ramlee mencuri tumpuan ketika persembahan sebuah gig yang diadakan di Ipoh, Perak, dua hari lalu.
Menerusi perkongsian klip video di Twitter @nan manjoi8715 memaparkan suasana ketika persembahan sebuah kugiran dikenali Budak Nakal Hujung Simpang dengan lagu ‘Cari Tapak’ yang dipopularkan kumpulan Senario.
Berdasarkan video berdurasi 28 saat itu, kelihatan gadis tersebut menari gaya ‘Pak Maun’ di tengah-tengah ruang kosong sambil dikelilingi pengunjung lelaki.
Sehingga kini, klip video tular terbabit telah mencecah 1.5 juta tontonan dengan 2,171 tanda suka dan 794 ciapan semula.
Bagaimanapun, rakaman tersebut turut menimbulkan perbalahan antara pengguna media sosial kerana ada yang beranggapan perbuatan itu tidak senonoh.
“Sebab tak malu lah dia menari kat situ. Kalu ada perasaan malu dia tak menari kat situ. Itupun engkau orang nak bangkit jadi isu,” ujar Wawa.
“Saya tidak nampak apa-apa masalah di sini, hanya orang yang sedang berseronok. Biarkan mereka,” kata Kael.
“Benda dah lama wujud, biarkan mereka masih muda. Jangan disekat selagi tiada unsur-unsur yang melampau,” jelas Shah.
Sementara itu, gadis tersebut yang dikenali sebagai Candra menjelaskan dia tidak mengambil hati atas teguran yang dibuat oleh orang ramai.
“Terima kasih yang tegur. Yang hina kecam itu sikit pun aku tak kisah langsung selagi ibu bapa aku tahu aku peri gig,” katanya. – KOSMO! ONLINE