KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiga bank telah bersetuju untuk memberikan moratorium sehingga enam bulan kepada mangsa banjir di negeri Johor.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, ketiga-tiga bank tersebut adalah Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Bank Bhd (CIMB) serta Agrobank.
“Semua bank diarahkan untuk membantu semua pelanggannya yang terjejas akibat banjir. Bank seperti CIMB dan Maybank menyediakan moratorium pinjaman sehingga enam bulan bagi mangsa banjir.
“Saya yakin bank lain akan menyediakan pakej bantuan sedemikian. Semalam dan hari ini kita hubungi bank-bank lain supaya mengikuti langkah yang diambil oleh Maybank dan CIMB. Agrobank pula Menteri Pertanian kata boleh,” katanya ketika sesi Pertanyaa-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang ingin tahu mengapa kerajaan masih tidak melaksanakan darurat banjir khususnya di Johor sedangkan situasi semakin buruk. – KOSMO! ONLINE.