KUALA LUMPUR – Saksi pembelaan kedua memberitahu kecederaan melecur yang dialami remaja sindrom down, Bella disebabkan tertumpah air panas dari termos.
Norhazira Masling, 35, yang merupakan rakan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali berkata dia mengetahui kejadian berkenaan selepas diceritakan oleh saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood selepas kes itu tular di media.
Ketika pemeriksaan utama oleh peguam Mohamad Farhan Maarof saksi itu turut mengakui dia ada ke lokasi kejadian iaitu Kondominium Irama Wangsa di Wangsa Maju, untuk melihat keadaan Bella.
Mohammad Farhan: Dalam pengetahuan puan, kejadian Bella ini apa (yang didakwa didera Siti Bainun)?
Norhazira: Bella terkena air panas, selepas itu Siti Bainun didakwa atas penderaan ke atas Bella.
Mohammad Farhan: Daripada keterangan puan, Yasmin jumpa puan dalam kereta, apa kena-mengena kejadian Bella dengan Yasmin boleh beritahu?Norhazira: Yasmin ceritakan kepada saya semasa kami berdua di dalam kereta sebelum masuk ke parkir rumah di kondominium.
Mohammad Farhan: Apa Yasmin beritahu mengenai Bella?
Norhazira: Saya minta dia beritahu perkara sebenar dan jangan menipu. Yasmin kata Bella terkena air panas dari termos ketika bergaduh dengan Balqis (penghuni lain). Termos itu terbalik dan terbuka menyebabkan air mengalir mengenai belakang badan Bella. Yasmin menghubungi Bonda (Siti Bainun) sebelum menarik Bella masuk ke tandas dan menyiram air ke badan Bella yang terkena air panas.
Pada 30 Mei tahun lalu, Yasmin dalam keterangannya tahun lalu mengakui bahawa kecederaan lecur pada remaja Bella disebabkan tumpahan air termos dan bukan dari penapis air (Cuckoo) dalam kejadian di Rumah Bonda di sebuah kondominium di Wangsa Maju.
Bagaimanapun saksi itu tidak pasti punca berlakunya tumpahan air termos pada Bella, adakah disebabkan remaja itu dan seorang lagi penghuni yang dikenali Balqis bergaduh selepas Bella dikatakan menghabiskan pencuci muka dan makanan ringan milik Balqis. – KOSMO! ONLINE