fbpx

Banjir: Peniaga rugi RM300,000 stok baju raya rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOOR SHAFINA menunjukkan baju-baju yang terendam banjir di kedai pakaian bapanya di Jalan Niaga 9, Kota Tinggi kelmarin.

KOTA TINGGI – Seorang peniaga di Jalan Niaga 9, di sini, menanggung kerugian kira-kira RM300,000 selepas kedai pa­kaian termasuk stok baju raya baharu terjejas akibat banjir yang berlaku sejak Rabu lalu.

Noor Shafina Naim, 21, ber­kata, ekoran bencana yang berlaku itu, ratusan baju seperti baju kurung, kain pasang, baju Melayu terendam air selepas banjir me­landa kedai milik bapanya itu sehingga paras pinggang.

“Ada stok baharu baju raya sudah masuk ke kedai kami dan rosak akibat banjir. Baju yang terjejas ini terpaksalah kami jual dengan harga rendah kerana sudah tidak boleh disimpan.

“Mungkin kami akan buat ‘lelongan’ kerana hari ini (semalam) kami masih lagi kemas kedai ke­rana kedai baru dapat dibuka selepas banjir reda. Biasanya harga yang kami tawarkan serendah RM10.

“Kita akan lelong baju yang terkena banjir ini sampai habis dan menjual stok yang terselamat untuk puasa nanti. Tambahan pula sudah terlalu dekat Ramadan jika hendak ‘push’ tukang jahit pun sudah tidak sempat,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Katanya, banjir pernah melan­da kedai bapanya tahun lalu, namun tidak dinafikan kali ini kerugian yang ditanggung lebih banyak.

“Banjir tahun lalu tidak sampai paras pinggang, barang juga selamat selepas disimpan di tempat tinggi. Banjir kali ini memang luar jangka, lepas dapat maklumat pada Rabu air akan naik kami sempat naikkan stok baju sedikit di tempat tinggi.

“Selebihnya hanya reda bila air memasuki kedai. Kami memang hari-hari datang ke kedai pantau ketinggian air selama empat hari ketika banjir. Hari ini (kelmarin) baru kami dapat membuka dan membersihkan kedai,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga kedai baju muslimah, Noriah Abd. Rahman, 40, pula berkata, dia sempat menyelamatkan stok baju raya, namun ada juga sebahagian kecil yang terjejas.

Katanya, ekoran banjir berlaku dia mengalami kerugian kira-kira RM100,000 tidak termasuk bahagian kaki lima kedainya yang pecah dipercayai akibat hentakan arus deras banjir.

“Kami sempat angkat baju-baju naikkannya di tempat tinggi, namun ada juga yang terendam air selepas terjatuh. Banjir kali ini juga menyebabkan kaki lima kedai kami rosak mungkin kerana arus air.

“Lagi 17 hari sahaja lagi hendak puasa. Bila keadaan macam ini, tak berani hendak buka kedai kerana bimbang keselamatan pelanggan. Kita harap sangat pihak Majlis Daerah Kota Tinggi dapat bantu baiki kaki lima yang rosak ini.

“Kami sudah tanggung rugi jika perlu keluarkan modal lagi untuk betulkan kaki lima ini, amat membebankan kami,” katanya yang turut melakukan jualan lelong baju raya semalam. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI