SEGAMAT – Di sebalik bencana banjir yang melanda, ia juga mendatangkan rezeki bagi penduduk apabila mereka bagaikan berpesta menangkap ikan air tawar di Kampung Haji Mian Batu Tujuh Belas, Chaah Bahru, di sini.
Seorang pekerja ladang, Mohd. Rizan Hamzan, 33, berkata, dia memperoleh kira-kira 20 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan hasil menahan dua rawan jaring di tepi Sungai Empangan Bekok, di sini.
“Sudah empat hari kami macam berpesta menangkap ikan air tawar di sini, saya pasang dua jaring atau pukat.
“Banyak dapat ikan antaranya jelawat, keli, talapia serta lampam, ada dekat 20 kilogram dah dapat sejak kami turun tahan ikan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tinjauan Kosmo! di sepanjang laluan Jalan Yong Peng-Segamat berhampiran kampung berkenaan mendapati, kira-kira 50 penduduk kampung ‘berpesta’ menjala, memancing serta memasang pukat.
Sementara itu, pengawal keselamatan Empangan Sungai Bekok, Amat Faizal Mohamad, 21, berkata, ikan yang ditangkap itu dipercayai dari kolam ikan yang melimpah.
Ujar Amat Faizal, selain itu, ikan air tawar ini juga berpunca dari Empangan Sungai Bekok yang melimpah akibat hujan lebat sejak Selasa minggu lalu.
“Biasanya ikan-ikan ini kami buat lauk untuk makan sendiri selain beri kepada jiran-jiran, memang banyak kami dapat.
“Kami selalu juga turun memancing, pasang pukat apabila tiba musim tengkujuh, ini antara hasil paling banyak kami dapat, kali terakhir hasil sama pada banjir 2016,” katanya.
Seorang lagi rakan mereka, Mohamad Hanafi Esa, 21, hasil tangkapan yang berjaya ditangkap itu lebih daripada mencukupi untuk hidangan buat keluarga.
Tambahnya, antara sajian yang mampu membangkit selera ialah masak asam pedas, goreng kunyit serta gulai tempoyak. -KOSMO! ONLINE