PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran kenaikan paras air laut dijangka berlaku di beberapa perairan negara hari ini.
MetMalaysia melalui kenyataan di laman sesawangnya memaklumkan, ia melibatkan perairan di Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Ia adalah berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai,” kata kenyataan itu.
Katanya, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang turut dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Sarawak, Sabah Barat dan Labuan serta Sabah Timur hingga pukul 3 petang ini yang boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.
Kenyataan itu juga turut mengeluarkan amaran angin kencang timur laut kategori ketiga bagi aktiviti perkapalan iaitu angin berkelajuan 60 kmsj dengan ombak ombak melebihi 4.5 meter dijangka di kawasan perairan timur Condore dan barat laut Reef North hingga 10 Mac ini (Jumaat).
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” katanya.
Manakala, amaran kategori kedua pula dengan angin kencang berkelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 hingga 4.5 m dijangka berlaku di perairan barat Condore, utara Bunguran, Reef North, Layang-Layang dan barat Palawan.
“Ia berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri,” ujarnya.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama iaitu kelajuan angin 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan timur Samui, Tioman, selatan Bunguran, utara Reef South dan timur Palawan.
Tambahnya, angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. – KOSMO! ONLINE