BACHOK – Sebanyak empat papan tanda amaran larangan mandi-manda dipasang di pesisir Pantai Kemayang, di sini hari ini, susulan kejadian lemas yang mengorbankan dua kanak-kanak dalam tempoh dua hari berturut-turut.
Ketua Jajahan Bachok, Azi Rahimee Mohamed berkata, papan tanda amaran itu dipasang di empat lokasi sepanjang Pantai Kemayang untuk memberi peringatan agar pengunjung tidak mandi di kawasan tersebut.
Menurutnya, bagaimanapun, pihaknya tidak menghalang pengunjung datang ke pantai tersebut berikutan ia merupakan kawasan rekreasi.
“Orang ramai yang beriadah atau berkelah di Pantai Kemayang perlu mengawasi pergerakan anak-anak agar tidak bermain di kawasan pesisir pantai.
“Anggota bertugas sentiasa menjalankan rondaan di sepanjang pantai dan akan memberi nasihat kepada orang ramai mengenai keadaan semasa di Pantai Kemayang,” katanya selepas memasang papan tanda amaran larangan mandi-manda di Pantai Kemayang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azi Rahimee memberitahu, pantai tersebut mempunyai tiga teluk sepanjang kira-kira 650 meter dan dua kawasan teluk menjadi tumpuan pengunjung untuk berkelah atau mandi-manda.
Katanya, Majlis Daerah Bachok tidak boleh membina pagar kerana kawasan tersebut merupakan lokasi rekreasi yang menjadi tumpuan pengunjung.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, seramai 10 anggota polis telah ditugaskan untuk memantau lima lokasi di kawasan pantai di daerah ini bermula pukul 5 petant hingga 7 malam. – KOSMO! ONLINE