fbpx

Warga KKD diseru budayakan sikap ingin tahu masalah rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Warga Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) disarankan agar membudayakan sikap ingin tahu permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di peringkat akar umbi di seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, beliau mahu warga kementeriannya menjadi ‘duta’ dalam mendekati dan mengenal pasti permasalahan dihadapi oleh rakyat di kawasan masing-masing agar ia dapat diselesaikan segera.

Ujar beliau, sikap ingin tahu masalah rakyat itu penting dan sekiranya ia berkait dengan isu yang diusahakan oleh kementerian tersebut maka perkara itu perlu diselesaikan dengan kadar segera.

“Sebagai contoh apabila kita pergi ke mana-mana, kita akan periksa sekiranya ada liputan talian telefon selain kelajuan internet.

“Dalam soal ini, kita minta warga KKD agar budayakan sikap ingin tahu masalah sedemikian (komunikasi) bermakna di mana sahaja kita berada kita akan periksa sendiri tahap talian tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital Bil. 2/2023 di sini hari ini.

Ujar Ahmad Fahmi, sekiranya talian didapati tidak berapa elok, maka mereka perlu memaklumkan situasi tersebut dengan segera kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Inisiatif ini kita tidak mahu ia dilaksanakan di kawasan-kawasan bandar sahaja tapi diperluaskan ke kawasan-kawasan luar bandar serta kampung-kampung dan lokasi yang terpencil.

“Warga KKD perlu turun sampai ke peringkat akar umbi untuk mengenal pasti masalah berkenaan agar ia dapat ditangani oleh pihak kementerian dalam usaha untuk memastikan rakyat dapat menikmati rangkaian komunikasi yang efektif dan berkesan,” ujarnya.

Tambah beliau, warga kementeriannya perlu mengambil inisiatif untuk tahu dahulu masalah yang berbangkit dan mengambil langkah penyelesaian dengan kadar segera sebelum rakyat membuat aduan tentang tiadanya rangkaian telekomunikasi atau jaringan internet di tempat mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI