Langkah Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid mendapat sokongan banyak pihak.
Komen daripada guru-guru terutamanya, mereka sangat gembira apabila pertandingan yang menambah bebas tugas golongan pendidik selama ini akan dihapuskan di bawah Menteri Pendidikan yang baharu, Fadhlina Sidek.
Mulai sesi persekolahan baharu 2023/2024, tiada lagi pertandingan seperti keceriaan pusat sumber, tandas tercantik dan Bilik Operasi Sistem Pengurusan Buku Teks terbaik yang dianggap tidak memberikan impak besar dalam pembelajaran murid.
KPM juga akan mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja.
Berdasarkan keluhan guru-guru, pertandingan atau sambutan seperti itu memenatkan mereka yang terpaksa melakukan kerja tambahan sehingga lewat petang, malah pada hujung minggu pun diarah datang sekolah.
Semuanya terpaksa dilakukan atas arahan pentadbir sekolah, terutama mereka yang bersungguh-sungguh mahu memenangi sesuatu pertandingan untuk mendapat nama.
Sedangkan misalnya, bukan semua tandas yang terdapat di sekolah tersebut akan dihiasi cantik, sebaiknya tandas yang memasuki pertandingan sahaja.
Hanya kerana itu, guru-guru ‘bawahan’ sehingga kakitangan sokongan pun ‘dikerah’ melakukan kerja-kerja lain seperti menjadi tukang cat dan pereka hiasan dalaman.
Itu belum lagi ada guru-guru yang dikerah mencari pihak penaja untuk membeli kelengkapan yang diperlukan, sememangnya terpaksa tebal muka.
Pelajar-pelajar pula terjejas apabila guru-guru yang terlibat dalam pertandingan atau sesuatu program jarang-jarang masuk kelas.
Jika ada pun digantikan dengan guru lain yang sekadar menjaga kelas daripada timbul ‘kacau-bilau’.
Jadi tidak hairanlah sekiranya ada anak-anak yang malas datang ke sekolah dengan alasan cikgu sibuk dengan pelbagai program dan aktiviti sehingga tiada sesi pembelajaran pada hari tersebut.
Kemenjadian pelajar seolah-olah diketepikan, yang diketengahkan perkara yang tidak memberi impak besar.
Memang benar kemenjadian pelajar bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik, sebaliknya yang lebih penting adalah pembangunan insaniah melalui pembelajaran dalam bilik darjah dan di luar bilik darjah menerusi pelbagai aktiviti.
Namun, jika ia dilakukan secara melampau sehingga menyusahkan guru dan mengganggu pembelajaran, maka ia wajar dimansuhkan.
Mungkin selepas ini ada beberapa lagi pemansuhan akan dilakukan Menteri Pendidikan yang baharu.
Ia bagaikan satu budaya apabila tukar menteri, maka polisi juga akan ditukar. Pastinya ramai juga yang ‘rindukan’ Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dimansuhkan menteri sebelum ini.