KEMAMAN – Berang suami tidak pulang ke rumahnya selama dua hari berturut-turut, seorang wanita berusia 28 tahun yang juga isteri ketiga menyerang isteri kedua suaminya di Taman Gong Pauh di sini semalam.
Dalam kejadian pada 2.15 petang itu, wanita terbabit naik angin apabila mendapati kelibat suaminya tiada di rumah madunya sebelum didakwa merosakkan kereta dan motosikal berkuasa tinggi milik lelaki berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati suspek telah menerpa masuk pagar rumah madunya sambil marah-marah.
“Dia kemudiannya didakwa memecahkan cermin hadapan dan belakang kereta milik suaminya dengan sebuah bekas mengisi buah.
“Selain itu, bahagian belakang sebuah motosikal berkuasa tinggi yang diletakkan bersebelahan juga didakwa dicalarkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, perbuatan suspek telah menaikkan kemarahan madunya berusia 34 tahun sebelum mereka bertikam lidah dan berlaku pergelutan.
Beliau berkata, pergaduhan itu menyebabkan jari kanan mangsa iaitu isteri kedua cedera.
“Wanita berusia 28 tahun itu ditahan reman selama tiga hari sehingga lusa (esok) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE