fbpx

Stacy buktikan diri masih ‘The Dancing Queen’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STACY memukau 800 peminat pada konsert perdananya yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas baru-baru ini.

MENDENDANGKAN lebih 15 buah lagu popularnya, Stacy ternyata masih ligat dan berbisa beraksi di atas pentas.

Berlokasi di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Stacy atau nama sebenarnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam membuktikan usia karier 15 tahun ternyata datang bersama dengan pengalaman yang mendewasakan.

Jolokan Ratu Tari atau ‘The Dancing Queen Malaysia’ yang melekat kuat pada dirinya masih kukuh apabila berjaya melunaskan impian beraksi pada konsert sulung yang diberi nama DFP PRESENTS: Stacy, baru-baru ini.

Persembahan dibuka dengan medley lagu Pakai Buang, Kasanova dan Jahat. Sememangnya biarpun sudah berstatus ibu anak tiga, kelincahan di atas pentas ikonik tersebut masih meninggalkan bekas luar biasa.

Paling manis apabila dapat melihat Stacy berduet dengan suami sendiri, Akim Ahmad menerusi lagu Menggegar Dunia dan Aku, Kau & Muzik.

Di atas pentas, mereka saling tak tumpah seperti pasangan yang baru bercinta sedangkan realitinya, sudah tujuh tahun hidup bersama dalam ikatan perkahwinan. Gurau senda yang dihadirkan ketika di pentas membuatkan penonton senyum lebar.

Puas hati

Stacy mengakui, dia berpuas hati melihat wajah-wajah peminat yang datang memberi sokongan pada konsert tersebut.

“Kita manusia tidak pernah puas. Tapi, alhamdulillah, saya puas sebab keluarga dan peminat hadir.

“Saya anak Sabah. Jadi, saya terharu kerana diberi peluang membuat konsert pertama di lokasi berprestij di Kuala Lumpur.

“Terima kasih kepada peminat dan rakan media atas sokongan yang diberikan kepada saya,” katanya.

STACY melengkapkan perjalanan konsert sulungnya di DFP dengan persembahan memukau dan tarian lincah persis ketika zaman anak dara.

Stacy mengembalikan nostalgia menerusi lagu hit lain seperti Pelangi Senja, Bosan, Aku Stacy dan banyak lagi.

Kata Stacy lagi, dia bagaikan bermimpi mengadakan konsert sebesar itu di DFP. Rata-rata semua 800 peminat yang hadir pulang dengan senyuman.

“Sejujurnya, saya tidak pernah sangka, selepas melahirkan anak ketiga, saya dapat peluang dan momen seperti ini.

“Saya terlalu teruja untuk memberikan yang terbaik. Malam ini adalah yang paling maksimum, terima kasih DFP,” ucapnya.

Kurang tidur

Ketika ditemu bual usai konsert, Stacy memaklumkan, gara-gara terlalu memikirkan tentang konsert solo berkenaan, dia kurang tidur dan keletihan.

Namun katanya, segala penat lelah itu terbayar apabila melihat peminat gembira dan terhibur dengan persembahan yang diberikan.

“Sudah beberapa hari saya tidak dapat tidur yang mencukupi. Mental masih berlawan dan otak tidak mahu berehat.

“Konsert ini terlalu holistik, satu perjalanan yang membezakan awal kemunculan dengan pencapaian sekarang. Semua itu proses yang saya lalui.

“Tidak nafikan memang penat, tetapi saya tetap teruskan rutin harian. Suami juga banyak memberikan semangat,” ujarnya.

KONSERT sulung Stacy disempurnakan dengan kehadiran suami tersayang, Akim menerusi segmen duet. – DFP

Ditanya tentang perasaan melihat kehadiran dua anaknya, Bella dan Eshaal pada konsert tersebut, Stacy mengakui terlalu gembira serta bangga.

“Anak saya selalu menjadi pengkritik di rumah. Jadi, saya bawa mereka untuk tengok persembahan saya kali ini,” ujarnya.

Suami sokong

Tidak dinafikan, di sebalik kekuatan Stacy pada konsert tempoh hari, tersembunyi semangat yang ditiupkan suami tersayang.

Akim memaklumkan, dia bangga dan sebak melihat pencapaian isteri kesayangan yang selama bertahun-tahun berkorban jiwa dan raga demi bidang yang dicintai.

“Ketika pembukaan konsert, saya sebak mengenangkan pengorbanan dan usaha keras yang dia lakukan sepanjang kerjayanya sebagai penghibur.

“Dalam sibuk membuat persiapan untuk konsert, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu. Hafal koreografi tarian dalam gelap, tetapi tengah malam tetap bangun bancuh susu untuk anak.

“Rezeki saya dipertemukan dengan isteri seperti Stacy. Saya selalu doa konsert ini berjaya dan membuat semua orang gembira. Alhamdulillah, dia berjaya,” katanya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI