KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) terus proaktif dalam menggalakkan ahlinya mencungkil kebolehan diri selain mengembangkan bakat bagi meneroka lebih banyak potensi pendapatan.
Presidennya, Zed Zaidi melihat perniagaan sebagai antara ruang untuk mempertingkatkan diri membuatkan persatuan memberi galakan kepada ahli menyertai program atau pertandingan berkaitan bagi menimba ilmu.
Katanya, antara penyertaan terkini adalah menerusi program Businesses Plan Challenge anjuran Pertubuhan Diversity and Inclusion Movement by The Youth (DIYC) yang memerlukan setiap pasukan tampil dengan pelan bisnes berpotensi tinggi.
“Selain membuka ruang kepada kelompok sasaran mengikuti seminar atau mencari pengalaman, untuk golongan muda pula kita bagi dorongan menyertai program berkaitan bisnes.
“Terbaharu, Seniman menghantar dua kumpulan membabitkan lapan peserta bawah usia 39 tahun yang juga ahli persatuan ini seperti disyaratkan penganjur untuk tampil bersama idea pelan bisnes hebat.
“Mereka akan bersaing dengan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta belia NGO dalam pertandingan yang turut menggilap keupayaan menggali potensi diri dalam bidang perniagaan,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sidang media Businesses Plan Challenge, baru-baru ini.
Program yang diadakan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia, Seniman, Pertubuhan Aspirasi Karisma, UniKL, Belia Karisma Jauhar dan Next Gen Malaysia (CILT) menawarkan hadiah wang tunai mencecah RM32,000.
Sementara itu, Pengarah Program 1 DIYC Movement, Rehhahn Tudball berkata, pihaknya mencari kumpulan terbaik dalam merangka strategi serta mampu tampil dengan pelan perniagaan berpotensi tinggi untuk diperkembangkan.
“DIYC Movement secara kolektif percaya ramai peserta sedia merebut peluang untuk tampil dengan pelan perniagaan jitu yang melayakkan mereka membawa pulang ganjaran wang tunai,” katanya.
Selebriti dan perunding perniagaan berpengalaman popular, Nazril Idrus dipilih sebagai ketua juri dibantu pelakon Sazzy Falak dan Ninie Chong dalam memilih kumpulan terbaik.
Kehadiran agensi dan industri perniagaan di peringkat akhir juga membolehkan para peserta mendapat peluang kepercayaan mengembangkan idea perniagaan mereka.
Sebanyak 30 kumpulan bakal bertarung di peringkat akhir yang berlangsung di Hotel Sunway, Iskandar Puteri Johor pada 13 dan 14 Mac ini.
Acara kemuncak yang dikendalikan Izzue Islam dan Sazzy tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Ratu Rock Ella.
Hadiah pertama membabitkan kategori IPTA dan IPTS layak membawa pulang RM15,000, manakala naib juara menerima RM10,000 dan pemenang ketiga meraih wang tunai RM5,000.
Begitupun, dua lagi pemenang hadiah sagu hati tidak pulang dengan tangan kosong apabila bakal diberikan ganjaran sebanyak RM1,000.
Setiap pemenang turut menerima plak penghargaan serta sijil penyertaan. – KOSMO! ONLINE