KANGAR – “Terus terang saya cakap, saya maafkan apa yang dia (menantu) lakukan dan terima ujian ini seadanya. Saya dah anggap dia anak kandung saya.”
Demikian luahan Salleh Eizan, 61, bapa kepada Allahyarham Safsufarnisya, 26, yang maut ditembak suaminya yang juga anggota polis berpangkat lans koperal di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat di sini semalam.
Salleh berkata, pada hari pertama kejadian berlaku, dia tidak mampu berdiri kerana tidak boleh menerima hakikat kejadian yang menimpa anak bongsunya itu.
“Semasa hari pertama kejadian, hati saya masih terkejut namun pada hari ini, keadaan bertambah baik dan saya boleh menerima ketentuan Ilahi. Menantu saya ini pula, saya sudah anggap macam anak saya sendiri kerana kami tinggal sekali, menjaga kebajikan, sering menghantar saya dan isteri menerima rawatan di hospital,” katanya.
Tambahnya, Safsufarnisya yang merupakan anak bongsu mempunyai perwatakan yang manja dan sering memeluk serta mencium ibunya hampir setiap hari.
Dalam pada itu, suasana bertambah sayu apabila ibu mangsa, Che Mas Taha, 63, menunjukkan beberapa pasang baju bayi berwarna putih pelbagai corak yang telah dibeli pasangan suami isteri itu sebagai persediaan menyambut kelahiran bayi.
“Saya tidak tahu mereka membeli baju bayi ini, kami hanya menemui baju ini dalam almari pakaian mereka selepas pasukan forensik memberi kebenaran membersihkan bilik tidur dan sepatutnya saya akan menimang cucu sekitar bulan Ogos ini,” katanya sambil menitiskan air mata.
Dalam pada itu, salah seorang kakak mangsa, Safsuzafira Salleh, 37, turut menunjukkan sekeping gambar memaparkan tulisan menggunakan gincu pada cermin meja solek menunjukkan keterujaan pasangan itu menyambut ahli keluarga baharu.
Jenazah Allahyarhamah Safsufarnisya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Putra Simpang Empat di sini selepas solat Isyak. – KOSMO! ONLINE