fbpx

RM64.2 juta diperlukan untuk mengatasi kesesakan di Tambak Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor bercadang untuk melaksanakan beberapa inisiatif baharu melibatkan peruntukan kira-kira RM64.2 juta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan itu dibuat pada satu mesyuarat khas petang tadi dan kesemua cadangan berkenaan akan dibawa ke Kabinet untuk memdapatkan kelulusan.

Jelas beliau, antara inisiatif baharu yang dibincangkan ialah penggabungan dewan penumpang bas di Kompleks Sultan Abu Bakar di Gelang Patah dengan anggaran kos RM25 juta.

“Turut dicadangkan adalah menaik taraf kaunter pemeriksaan lori baharu di Zon Lori Masuk dan Bay Pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan anggaran kos RM30.6 juta serta membina tandas baru untuk orang awam dengan anggaran kos RM8.6 juta.

“Selain itu, berdasarkan kepada trend peningkatan pengembara yang dijangkakan meningkat sehingga 17.2 peratus setiap tahun, maka kajian semula perjawatan perlu dibuat bagi mengimbangi beban tugas pegawai dengan trend peningkatan ini,” katanya di laman Facebook hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan, mesyuarat khas itu juga turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Muhammad Alamin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin dan beberapa wakil kementerian serta agensi berkaitan.

Tambah Fadillah, mesyuarat khas itu juga bersetuju dengan cadangan mewujudkan ‘Single Entry Point’ di sempadan Malaysia dan Singapura.

Katanya, cadangan itu akan diperhalusi oleh pihak Kementerian Dalam Negeri bersama kementerian serta agensi lain yang berkaitan sebelum diangkat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Jika dipersetujui maka jawatankuasa teknikal akan dibentuk untuk berbincang dengan Singapura sama ada cadangan ini boleh dilaksanakan ataupun tidak kerana ia memerlukan perubahan dari segi perundangan dan perlu mendapat persetujuan serta kerjasama pihak Singapura.

“Pada masa sama, mesyuarat turut mengambil maklum mengenai status Pelaksanaan Penubuhan Agensi Tunggal Kawalan Sempadan dan Pintu Masuk (Single Border Agency – SBA) sebagai salah satu inisiatif jangka panjang meningkatkan kecekapan pengurusan di pintu masuk negara.

“Kerajaan menjangkakan SBA akan mula dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari 2024,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI