SEREMBAN – Kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd. telah dilengkapkan oleh pihak polis selepas 11 individu diambil keterangan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihak polis sudah menghantar kertas siasatan itu ke Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) pada 2 Mac lalu.
“Kita menunggu arahan lanjut daripada pihak PPN kerana siasatan yang dijalankan juga adalah pandangan serta nasihat daripada PPN.
“Buat masa ini siasatan kekal di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan tetapi sekiranya didapati ada unsur lain kita akan serahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini hari ini.
Menurut Ahmad Dzaffir, seramai 11 individu telah diambil keterangan iaitu termasuk kakitangan MAINS daripada pelbagai peringkat, namun beliau enggan memperincikan individu yang telah dipanggil.
Dalam pada itu beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan yang sedang dilakukan.
“Mereka yang didapati menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial juga boleh berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,”katanya.- KOSMO! ONLINE