fbpx

Pensyarah UTeM kongsi kepakaran teknologi dalam ITUR-WP5D, Geneva

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. IMRAN merupakan seorang pakar dalam bidang telekomunikasi dan pensyarah di UTeM.

PENSYARAH di Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah dipilih mewakili negara bagi berkongsi kepakaran dalam mencorak dan membangunkan alat perhubungan pada masa hadapan.

Prof Madya Dr. Imran Mohd. Ibrahim telah mewakili Malaysia Technical Standard Forum Berhad dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ke mesyuarat ITU Working Party 5D (ITUR-WP5D) yang berlangsung secara maya di Geneva, Switzerland baru-baru ini.

ITUR-WP5D merupakan forum di bawah International Telecommunication Union yang bertanggungjawab berkongsi kepakaran dan merangka pembangunan spesifikasi teknologi telekomunikasi masa hadapan di peringkat global.

Perkongsian kepakaran itu melibatkan tenaga pakar lebih dari 100 negara, antaranya Amerika Syarikat, China, Britain, Jepun, Korea Selatan dan India.

Ditanya berkenaan dapatan perkongsian tersebut, Imran berkata, antara perkara utama yang disentuh adalah berfokus kepada perincian pembangunan spesifikasi teknologi 6G.

“Dalam perkongsian tersebut, turut diperhalusi adalah berkenaan kemodenan komunikasi besar-besaran antara peranti telekomunikasi dalam sektor kesihatan dan automotif dunia.

“Ia berfokuskan kepada kenderaan tanpa kendalian manusia.

“Selain itu, pembangunan telekomunikasi dunia memperincikan pemerkasaan penggunaan teknologi realiti maya (tanpa wayar) secara meluas,” katanya.

Mengulas lanjut, Imran memberitahu, daripada perkongsian tersebut, wakil akan memberikan laporan terperinci kepada kementerian dan badan berkaitan di negara masing-masing pula.

Berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi, Imran menyatakan, antaranya adalah mengambil kira dan meraikan pandangan serta idea daripada delegasi lebih 100 buah negara itu.

Katanya, ada delegasi negara yang teruja dengan spesifikasi yang dicadangkan.

MESYUARAT ITUR-WP5D yang diadakan secara maya di Geneva, Switzerland telah disertai oleh tenaga pakar dari 100 negara.

Jelasnya, ada juga delegasi yang perlu mengambil kira kemampuan mereka dalam melaksanakan cadangan itu pada masa hadapan.

“Masih banyak keadaan muka Bumi yang belum mendapat liputan telekomunikasi seperti Afrika dan sebahagian negara Asia.

“Hal ini disebabkan masalah kemampuan kewangan negara tersebut, selain keadaan geografi yang menyukarkan pembinaan menara telekomunikasi.

“Antara solusi yang dicadangkan adalah menggunakan teknologi satelit pada orbit dekat dengan permukaan bumi yang dapat memberikan liputan luas di kawasan sebegini.

“Namun, kemampuan sesebuah negara membiayai teknologi sebegini juga perlu diambil kira,” ujarnya.

IMRAN berkepakaran dalam teknologi.

Berkenaan isu-isu yang sering timbul, Imran menyatakan, pertindihan jalur frekuensi teknologi 6G dengan aplikasi sedia ada antara yang menjadi topik utama.

Jelasnya, setiap negara sudah mempunyai jalur-jalur frekuensi untuk beberapa aplikasi strategik mereka.

“Apabila cadangan jalur frekuensi 6G bertindih dengan aplikasi tersebut, tentunya ia menjadi keutamaan untuk dibincangkan.

“Selain itu, jalur baharu pada 100 GHz – 1 THz untuk teknologi 6G telah mengundang pelbagai reaksi daripada delegasi yang menyertai forum tersebut.

“Ini kerana kos pembangunan dan pelaksanaan teknologi pada jalur tersebut akan menjadi sangat mahal untuk negara-negara tertentu,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Ts Dr. Massila Kamalrudin berkata, ia merupakan pengiktirafan negara dan dunia bagi kepakaran dimiliki UTeM.

Jelasnya, selaku universiti awam teknikal berprestij, UTeM sentiasa peka dan terus bersama menerajui arus penerokaan kemodenan telekomunikasi global termasuklah pembangunan teknologi 6G serta penambahbaikan 5G.

“Saya berharap perkongsian kepakaran oleh Imran dapat memantapkan lagi pembangunan telekomunikasi negara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN