fbpx

Nazim tak bercinta dengan Janna, selesa membujang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI mesra Nazim dan Janna disalah tafsir sesetengah peminat sebagai pasangan bercinta.

PETALING JAYA – Pelakon Nazim Othman mengakui selesa berkawan rapat dengan aktres, Janna Nick yang dianggap sebagai wanita hebat, namun hubungan tersebut tidak lebih sebagai seorang sahabat sahaja.

Kata Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman, 38, hubungan akrab yang terjalin antaranya dengan Janna berlaku secara semula jadi tanpa dipaksa kerana masing-masing jujur terhadap diri sendiri.

“Keakraban kami bukan gimik. Kami memang selesa sesama sendiri. Saya dan Janna jujur dengan diri sendiri untuk berkongsi rasa dan nasihat.

“Jadi hubungan kami terjalin secara semula jadi tanpa dipaksa,” katanya kepada Kosmo! Online.

Kata pelakon drama Pengantin Satu Malam itu lagi, dia sangat menghargai aktres berusia 27 tahun itu yang disifatkan sebagai seorang wanita yang sangat baik, tabah dan kuat.

“Janna seorang wanita yang sangat baik, tabah dan kuat. Kualiti yang ada pada Janna buatkan saya menghormatinya. Saya berharap, saya juga ada kualiti untuk Janna hargai,” katanya.

Ketika diusik jika dia sebenarnya cuba menjadikan Janna lebih daripada seorang rakan, Nazim menolak dakwaan tersebut.

Nazim ketika ditemui pada majlis pertunjukan Rizman Ruzaini Fall Winter 2023 dan Raya 2023 di Hotel St. Regis di ibu negara baru-baru ini turut mengakui hatinya belum terbuka untuk menerima kehadiran mana-mana wanita dalam hidupnya buat masa ini.

“Kami memang tiada percubaan untuk ke arah itu (bercinta). Bukan sahaja dengan Janna, bahkan wanita lain juga.

“Saya masih solo. Saya sudah sampai ke tahap tidak lagi mencari (cinta) dan menanti,” katanya.

Namun, jejaka kelahiran Labuan itu tidak menolak takdir jika suatu hari nanti Tuhan membuka pintu hatinya untuk kembali bergelar seorang suami.

“Cuma keadaan mungkin akan berubah jika ada magis daripada Allah SWT. Kalau Allah tiba-tiba hantar seseorang, mungkin hati saya akan terbuka.

“Saya okey sahaja untuk kembali bergelar suami. Kehidupan saya pun semakin tenang, tidak lagi terkejar-kejar seperti dahulu,” katanya.

Terdahulu, hubungan mereka menjadi tumpuan peminat selepas dilihat mesra sewaktu meluangkan masa keluar bersama-sama seperti yang dikongsikan Janna dalam Instagramnya.

Keakraban kedua-dua pelakon itu sekali gus menimbulkan spekulasi apabila dikatakan sedang menjalinkan hubungan cinta oleh netizen yang turut memberi restu jika mereka menjadi pasangan kekasih. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI