fbpx

Moderator TikTok dera monyet sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aksi penderaan anak monyet sehingga mati oleh moderator TikTok.

SHAH ALAM – Seorang moderator kandungan aplikasi TikTok dipercayai mendera seekor anak monyet sehingga mati dengan memukul, mencacatkan dan membakar bahagian kaki serta tangan haiwan tersebut baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, laporan berhubung kes tersebut diterima pihaknya daripada orang awam kira-kira pukul 11.25 pagi pada 20 Januari lalu berdasarkan maklumat melalui aplikasi media sosial berkenaan perbuatan penganiayaan terhadap haiwan.

Katanya, hasil siasatan membawa kepada serbuan sebuah rumah di Setia Alam yang dihuni seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun.

“Polis telah menemui beberapa perkakas dan peralatan serta sebuah telefon bimbit yang mengandungi gambar anak monyet yang didera. Suspek dalam kes ini telah dirakam percakapan dan rampasan telefon suspek telah dibuat. Tiada sebarang tangkapan dibuat memandangkan kes ini tidak lazim ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan tindakan lelaki tersebut adalah bagi mendapatkan wang apabila videonya dilihat orang ramai.

Ujar Mohd. Iqbal, setakat ini seramai empat saksi telah dipanggil bagi memberi keterangan dan kertas siasatan kemudiannya dirujuk kepada pejabat Perundangan Negeri Selangor dan diedarkan ke Jabatan Peguam Negara untuk kajian pada 2 dan 22 Februari lalu.

“Arahan dari Jabatan Peguam Negara pada 23 Februari lalu adalah supaya siasatan diteruskan untuk mendapatkan laporan hasil analisa daripada pihak forensik bagi telefon bimbit milik suspek yang dirampas.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015. Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Anis Shafika Muhamad Adilah di talian 011-10951310,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI