fbpx

Mayat pelajar tahfiz lemas ditemui 5km dari Pantai Kemayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengusung mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu hari.- Foto IHSAN POLIS

BACHOK – Selepas lebih 29 jam hilang, mayat seorang pelajar tahfiz, Ahmad Fadhullah Mohamad, 12, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari benteng penghadang ombak di Pantai Kemayang di sini dijumpai lima kilometer dari lokasi kejadian.

Mayat mangsa ditemui wanita berusia 28 tahun yang sedang berkelah di Pantai Senok, Tawang di sini pada pukul 1.40 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, mayat mangsa dijumpai terdampar kira-kira 25 meter dari tepi Pantai Senok yang merupakan lokasi orang awam berkelah.

“Wanita itu meminta bantuan orang ramai untuk membantunya menarik mangsa ke tepi agar tidak dihanyutkan ombak. Mayat mangsa dicam abang iparnya yang turut ke lokasi penemuan mayat kanak-kanak itu,” katanya.

Mohamad Ismail memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk dibedah siasat. Operasi mencari dan menyelamat mangsa dihentikan pukul 3 petang tadi.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang pelajar tahfiz dikhuatiri lemas selepas tergelincir sebelum terjatuh dari kawasan benteng penghadang ombak di Pantai Kemayang semasa melihat pemandangan air pasang di pantai tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, Ahmad Fadhullah hilang manakala kakak, Nurul Afiqah, 19, dan anak saudaranya, Muhamad Nabil Irfaan Ismail Mokhtar, 11, sempat diselamatkan oleh ahli keluarga mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI